Serangan Trump ke atas Iran cetus reaksi bercampur-campur di Amerika
Reaksi di Amerika Syarikat terhadap serangan ke atas Iran datang bertalu-talu, dengan sesetengah ahli politik menzahirkan keraguan manakala yang lain pula memberikan sokongan penuh terhadap serangan tersebut.
Gambar satelit yang menunjukkan kemudahan nuklear Natanz di Iran. (Gambar: Maxar Technologies/Edaran melalui REUTERS)
Dalam satu catatan di platform X, Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson berkata: “Operasi ketenteraan di Iran seharusnya menjadi peringatan jelas kepada pihak musuh dan sekutu bahawa Presiden Trump maksudkan apa yang beliau katakan.
"Presiden telah memberikan pemimpin Iran setiap peluang untuk mencapai perjanjian, namun Iran enggan komited kepada perjanjian pelucutan senjata nuklear.
"Presiden Trump secara konsisten dan jelas menyatakan bahawa Iran yang bersenjatakan nuklear tidak akan diterima.”
Di samping itu, ketua majoriti Senat, John Thune, turut melahirkan sokongan terhadap Presiden Trump menerusi catatannya di X.
“Rejim di Iran, yang komited untuk membawa ‘penghapusan terhadap Amerika’ dan melenyapkan Israel dari peta, telah menolak semua jalan diplomatik menuju keamanan,” katanya.
Namun, Ahli Kongres Republican dari Kentucky, Thomas Massie, mempersoalkan tindakan tersebut sambil mendakwa bahawa ia tidak selaras dengan Perlembagaan.
Pandangan itu turut dikongsi oleh Ahli Kongres Democrat dari California, Ro Khanna: “Trump menyerang Iran tanpa sebarang kebenaran daripada Kongres.”
Beliau menegaskan undian perlu diadakan bagi “mengelakkan Amerika daripada diheret ke dalam satu lagi perang tanpa kesudahan di Timur Tengah.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.