Serangan trem Belanda: Surat bayangkan motif 'pengganas'
Pihak berkuasa Belanda pada Selasa (19 Mac) menyatakan sedang menyiasat "secara serius" sama ada terdapat motif pengganas dalam insiden tembakan di dalam sebuah trem di Utrecht. Ini berdasarkan bukti yang ada termasuk surat yang ditemui di dalam kereta yang digunakan suspek untuk melarikan diri.
Para pegawai keselamatan mengawal sebuah stesen menyusuli serangan di Utrecht (Gambar: AFP)
UTRECHT: Pihak berkuasa Belanda pada Selasa (19 Mac) menyatakan sedang menyiasat "secara serius" sama ada terdapat motif pengganas dalam insiden tembakan di dalam sebuah trem di Utrecht. Ini berdasarkan bukti yang ada termasuk sepucuk surat yang ditemui di dalam kereta yang digunakan suspek untuk melarikan diri.
Polis sedang menyoal siasat suspek utama kelahiran Turki, Gokmen Tanis, 37 tahun, dan dua lelaki lain berhubung serangan Isnin (18 Mac)yang meragut tiga nyawa dan mencederakan tujuh lagi.
Perdana Menteri Belanda Mark Rutte awal sebelum ini berkata mereka "tidak dapat menolak kemungkinan" motif-motif lain seperti pertikaian keluarga, namun pihak polis dan pendakwa menyatakan pada Selasa siasatan masih cenderung ke arah pengganasan.
"Sejauh ini, kemungkinan motif serangan pengganas masih disiasat dengan serius. Ini berdasarkan sepucuk surat dalam kereta suspek dan beberapa lagi bukti yang ditemui berhubung kejadian itu, menurut kenyataan bersama pihak polis dan pendakwa.
"Siasatan menunjukkan tiada kaitan antara suspek utama dan para mangsa."
Tiga orang yang terkorban termasuk remaja 19 tahun dari Vianen, dan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun dari Utrecht sendiri.
Anggota polis bersenjata menangkap Tanis menyusuli gerakan buruan besar-besaran selama lapan jam di sekitar bandar keempat terbesar di Belanda itu. Gerakan polis itu juga mencetuskan kawalan keselamatan dipertingkat di lapangan terbang dan tempat-tempat utama.
Polis menemui sebuat kereta Renault Clio berwarna merah yang digunakan suspek untuk melarikan diri selepas serangan tersebut. Mereka juga menemui senjata api pada dirinya ketika ditangkap.
Tanis dan dua lelaki lain berusia 23 dan 27 tahun sedang disoal siasat.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata khidmat perisikan negaranya "sedang menyiasat" serangan itu.
Media tempatan melaporkan suspek pernah didakwa atas pelbagai kesalahan sejak beberapa tahun lalu dari mencuri sehingga membunuh.
Dia juga dilaporkan baru sahaja dihadapkan ke mahkamah dua minggu lalu atas kesalahan merogol pada tahun 2017.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.