Serangan terhadap Salman Rushdie 'dikesali', kata pertubuhan Islam di Indonesia meski sesetengah netizen bertepuk sorak
Gambar: AFP
JAKARTA: "Alhamdulillah, akhirnya syaitan yang bertopengkan manusia mendapat balasannya!" tulis seorang pengguna media sosial warga Indonesia, Budhi Prasetyo dari Bogor selepas mendapat tahu penulis British-Amerika Syarikat, Salman Rushdie ditikam berkali-kali di New York oleh Hadi Matar.
Hadi Matar adalah seorang Muslim Syiah yang dipercayai bersimpati dengan Iran.
Sedang perbahasan di wadah online bertambah sengit, semakin ramai warga Indonesia yang beragama Islam mempertahankan Hadi Matar yang dianggap sebagai wira Islam.
Ramai juga seperti Samsul Alie dari Riau mewajarkan tindakan ganas itu dengan mengatakan bahawa "kebebasan tidak boleh digunakan untuk menghina sesebuah agama".
Ada juga yang menyalahkan negara-negara Barat kerana melindungi Salman Rushdie sejak sekian lama.
"Inilah padahnya! Jelas sekali (Rushdie) menghina Al-Quran,” kata Widi Astuti dari Salatiga.
"Namun (Barat) menyatakan ia adalah kebebasan bersuara dan mereka malah memberikannya anugerah sastera. Ratu (British) juga memberikannya darjah kehormatan."
Encik Salman kini sedang "beransur pulih" selepas mengalami kerosakan hati dan saraf terputus pada bahagian lengan dan mata semasa serangan tersebut pada Jumaat (12 Ogos).
Penulis itu berkemungkinan buta pada sebelah mata namun tidak lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, kata ejennya, Andrew Wylie.
Dalam responsnya, Ayatollah Khomeini dari Iran mengeluarkan fatwa yang menggalak umat Islam supaya membunuh Encik Salman.
Pemerintah Iran malah menawarkan upah bernilai AS$6 juta (S$8.2 juta) kepada sesiapa saja yang dapat membunuhnya.
Pemerintah Indonesia seperti kebanyakan negara Islam yang lain turut mengharamkan buku itu pada Mac 1989.
Sebahagian besar tokoh Islam di Indonesia ketika itu turut mengutuk novel tersebut kecuali pengerusi Nadhatul Ulama (NU), Abdurrahman Wahid yang kemudian menyandang jawatan presiden Indonesia yang keempat pada 1999.
"Ia adalah novel asli dan indah, mungkin yang paling berjaya dalam abad ini", kata Encik Abdurrahman Wahid di hadapan para penonton sesi perbahasan yang terpegun dengan kenyataan tersebut.
"Kita harus berfikiran terbuka dan menerimanya sebagai karya cereka sastera dan bukan kenyataan berdasarkan fakta."
Pendirian Encik Abdurrahman Wahid masih disokong oleh sesetengah warga Indonesia.
Sebagai contoh, usahawan Nia Perdhani, 38 tahun yang berasal dari Pati, Jawa Tengah dengan tegas menjauhkan diri dari ramai kenalannya yang beragama Islam.
Sarjana Islam, Saidiman Ahmad yang juga adalah aktivis pluralisme menulis hantaran Twitter," Setiap orang mempunyai hak untuk kebebasan bersuara dan kebebasan untuk mengkritik. Saya mengutuk serangan ke atas Salman Rushdie."
Pendakwah progresif, Roy Murthado berkata beliau kecewa melihat sentimen-sentimen di media sosial yang bergembira dan bertepuk sorak dengan serangan tikaman terhadap Salman Rushdie.
Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa orang Islam yang mengagung-agungkan serangan itu biasanya dari latar belakang kelas pertengahan bandar.
Encik Roy turut mengatakan bahawa konservatisme kini semakin menambat hati para penduduk kota yang beragama Islam.
Ini kerana orang Islam yang moderat (sederhana) dan liberal tidak lantang menyuarakan isu-isu sedemikian.
Penulis, Sunlie Alexander, yang menulis tesis bagi mengkritik sifat kufur dalam buku "The Satanic Verses" berpendapat bahawa konservatisme Islam yang semakin meningkat di Indonesia adalah sebahagian daripada gerakan global.
Dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Muhammadiyah dan NU menyatakan bahawa serangan terhadap Salman Rushdie tidak sepatutnya berlaku tetapi penting untuk mengetahui mengapa ia berlaku.
Setiausaha Agung Muhammadiyah, Abdul Mu’ti, memberitahu "This Week in Asia" bahawa pertubuhannya sangat kecewa dengan kejadian itu dan menegaskan bahawa perbuatan jahat itu telah dilakukan seorang diri oleh Hadi Matar dan perbuatannya itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili mana-mana kumpulan atau agama.
Meskipun perbuatan ganas itu dikesali, ia dicetuskan oleh sikap lalu Encik Salman yang
"menghina Islam", kata Timbalan Setiausaha NU, Imron Rosyadi Hamid.
"Kami menyeru kepada sesiapa saja yang bercakap atas nama kebebasan supaya menahan diri daripada kata-kata kufur dan nista terhadap sesebuah agama kerana di situlah batasnya harus ditetapkan," kata Encik Imron.
Indonesia sudah menyenaraikan "kekufuran dan nista terhadap agama" sebagai satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang sejak 1965.
Pada tahun 2020 saja, seramai 60 individu didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut secara online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.