Skip to main content

Dunia

Serangan terhadap pekerja bantuan kemanusiaan catat paras rekod pada 2025

Jumlah pekerja kemanusiaan yang diserang mencatat paras tertinggi pada 2025, sebahagiannya didorong oleh peningkatan penggunaan dron bersenjata, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (19 Ogos), yang menyifatkan trend tersebut sebagai "amat membimbangkan".

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan terhadap pekerja bantuan kemanusiaan catat paras rekod pada 2025

Pasukan pengaman PBB meninjau-ninjau keadaan selepas pasukan bomba Congo memadamkan kebakaran akibat serangan dron yang dilancarkan ka atas sebuah kawasan perumahan di Goma, yang dikuasai pemberontak M23, di wilayah Kivu Utara, Republik Demokratik Congo, pada 11 Mac 2026. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 19 Aug 2026 02:34PM
GENEVA: Jumlah pekerja kemanusiaan yang diserang mencatat paras tertinggi pada 2025, sebahagiannya didorong oleh peningkatan penggunaan dron bersenjata, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (19 Ogos), yang menyifatkan trend tersebut sebagai "amat membimbangkan".

Seramai 907 pekerja bantuan terbunuh, cedera atau diculik pada 2025, berbanding 833 orang pada tahun sebelumnya, menurut Aid Worker Security Database, sebuah platform yang dibiayai Kanada dan Australia yang mengumpul data berhubung kejadian keselamatan serius melibatkan para pekerja bantuan.

Daripada jumlah berkenaan, 350 pekerja bantuan terbunuh, turun sedikit berbanding rekod 387 kematian pada 2024.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyifatkan tahap keganasan tersebut sebagai amat membimbangkan dan menggesa negara-negara supaya menghormati peraturan perang serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

"Berkhidmat untuk membantu orang lain kini lebih berbahaya berbanding sebelumnya," kata beliau menjelang acara PBB sempena Hari Kemanusiaan Sedunia, dengan bendera dikibarkan separuh tiang di New York dan Geneva bagi memperingati mereka yang terbunuh.

Ketua bantuan kemanusiaan PBB Tom Fletcher berkata penggunaan dron bersenjata yang murah dan mudah diubah suai secara meluas dalam konflik meningkatkan risiko terhadap para pekerja bantuan. Pada Mac, serangan dron di Goma, timur Republik Demokratik Congo, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, termasuk seorang pekerja bantuan Perancis, manakala konvoi bantuan di Sudan dan Ukraine berulang kali menjadi sasaran.

Gaza merupakan lokasi paling berbahaya bagi para pekerja bantuan pada 2025, dengan 186 pekerja bantuan kemanusiaan terbunuh di wilayah tersebut tahun lalu, menurut pangkalan data tersebut, diikuti Sudan.

Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan sekurang-kurangnya 393 kakitangannya terbunuh di Gaza sejak perang Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober 2023.

Israel, yang memerangi Hamas di Gaza, mendakwa bahawa ia mengambil pelbagai langkah bagi mengelakkan korban dalam kalangan orang awam.

Mantan Ketua UNRWA Philippe Lazzarini berkata awal tahun ini bahawa beliau mahu sebuah panel peringkat tinggi ditubuhkan untuk menyiasat kematian kakitangan agensi tersebut.

Ketua Dasar Kemanusiaan Global Oxfam, Bushra Khalidi, pula menggesa agar perlindungan lebih kukuh diberikan kepada para pekerja bantuan kemanusiaan, sambil berkata: "Kita sedang menyaksikan serangan terhadap usaha kemanusiaan itu sendiri."
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita