Skip to main content

Dunia

Serangan terhadap anggota pengaman mesti dihentikan: PBB

Seorang lagi anggota pengaman iaitu yang kedua maut berikutan serangan baru-baru ini di selatan Lubnan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (22 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan terhadap anggota pengaman mesti dihentikan: PBB

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 23 Apr 2026 11:32PM
  • Seorang lagi anggota pengaman PBB, Anicet Girardin dari Perancis, meninggal dunia akibat serangan di selatan Lubnan pada 18 April, menjadikan dua kematian dan beberapa cedera.
  • Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menzahirkan dukacita dan menggesa semua pihak menegakkan undang-undang antarabangsa serta melindungi keselamatan petugas PBB.
  • PBB menegaskan serangan ke atas pasukan pengaman adalah pencabulan undang-undang kemanusiaan dan mungkin jenayah perang, serta perlu dihentikan segera.
  • Pihak bertanggungjawab atas serangan diminta disiasat dan didakwa, manakala Perancis mengesahkan kematian dua anggotanya serta kecederaan dua lagi.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Seorang lagi anggota pengaman iaitu yang kedua maut berikutan serangan baru-baru ini di selatan Lubnan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (22 Apr). Ini mendorong seruan bagi kebertanggungjawaban dan perlindungan pengaman antarabangsa di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menzahirkan dukacita atas kematian seorang askar Perancis yang berkhidmat dengan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) menyusuli serangan pada 18 April yang mengakibatkan seorang tentera pengaman terbunuh dan tiga lagi cedera, kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

"Ini adalah salah satu daripada beberapa kejadian dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serius anggota pengaman yang berkhidmat dengan UNIFIL," kata Encik Dujarric.

Encik Dujarric berkata Encik Guterres mengulangi gesaannya kepada semua pihak agar menegakkan kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dan memastikan keselamatan dan keamanan petugas PBB.

"Serangan ke atas pasukan pengaman mesti dihentikan. Ia adalah pencabulan besar terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan ketetapan Majlis Keselamatan 1701 (2006) dan mungkin merupakan jenayah perang," tambah beliau.

"Semua serangan ke atas pasukan pengaman mesti disiasat dengan segera dan mereka yang bertanggungjawab mesti didakwa dengan berkesan dan dipertanggungjawabkan."

Terdahulu, Perancis mengesahkan kematian Anicet Girardin, yang dipindahkan ke Perancis untuk rawatan selepas cedera dalam serangan sama yang membunuh Ajudan Florian Montorio dan mencederakan dua lagi tentera Perancis.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita