Skip to main content

Dunia

Serangan siber paksa hospital di 4 negeri AS ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
LOS ANGELES: Satu serangan siber di sebuah kumpulan hospital Amerika Syarikat (AS) memaksa penutupan sementara pusat penjagaan segera dan perkhidmatan kesihatan kritikal yang lain di sekurang-kurang empat negeri.

Prospect Medical Holdings yang mengendalikan 16 hospital di California, Connecticut, Pennsylvania dan Rhode Island, berdepan 'insiden keselamatan data', menurut seorang jurucakap dalam satu kenyataan kepada AFP, pada Jumaat (4 Ogos).

"Sebaik saja mengetahui perkara ini, kami menutup sistem online kami dan melancarkan siasatan dengan bantuan pakar keselamatan siber pihak ketiga," katanya.

Jurucakap itu berkata, kejadian terbabit dilihat sebagai serangan ugutan atau 'ransomware', namun siasatan lanjut masih diteruskan.

"Dalam pada itu, kami memfokus untuk menangani keperluan mendesak pesakit dan berusaha mengembalikan operasi kepada normal secepat mungkin," menurut kenyataan berkenaan lagi.

Hospital Waterbury bawah kumpulan itu di Connecticut memaklumkan, gangguan sistem komputer yang menjejaskan operasi pesakit luar dan di dalam wad dengan kakitangan terpaksa menggunakan 'rekod kertas hingga masalah itu dapat diselesaikan.'

Eastern Connecticut Health Network pula berkata, pihaknya menutup sementara pusat penjagaan segera dan membatalkan pembedahan elektif, sehingga dimaklumkan kemudian.

Serangan 'ransomware' lazimnya mengakses sistem komputer dan menyekat atau mencuri data, sebelum menghantar nota peras ugut menuntut bayaran untuk melepaskan sekatan ke atas akses data terbabit ataupun tidak mendedahkannya kepada umum.

Kumpulan penjagaan kesihatan sering menjadi sasaran serangan seumpama itu.
Sumber : Agensi berita/SS/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita