Serangan Masjid Al-Aqsa: MUIS kutuk keganasan, pencabulan ke atas rumah-rumah ibadat
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (10 Mei) melahirkan rasa "amat prihatin dan berdukacita" berhubung keganasan-keganasan yang berlaku terhadap para jemaah di Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis - iaitu masjid ketiga paling suci dalam Islam.
Para anggota medik Palestin membawa seorang penunjuk perasaan, yang cedera dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan Israel di Baitulmakdis, ke ambulans pada 10 Mei 2021. (Gambar: Emmanuel Dunand/AFP)
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (10 Mei) melahirkan rasa "amat prihatin dan berdukacita" berhubung keganasan-keganasan yang berlaku terhadap para jemaah di Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis - iaitu masjid ketiga paling suci dalam Islam.
Sejauh ini lebih daripada 275 penduduk Palestin dilaporkan cedera dan lebih 200 daripada mereka dimasukkan ke hospital, menurut Persatuan Palang Merah Palestin. Beberapa daripada mereka dilaporkan kritikal.
"MUIS mengutuk sebarang tindakan keganasan terhadap mana-mana penganut agama yang tidak bersenjata dan pencabulan ke atas rumah-rumah ibadat," menurut MUIS dalam satu catatan di Facebook pada lewat petang Isnin (10 Mei).
"Sebagai umat yang mempunyai hati nurani yang mempercayai kesucian nyawa manusia, kami berdoa demi rahmat dan keselamatan dari Allah bagi orang yang tidak berdosa serta mengharapkan ketenangan dan agar keadaan reda dengan segera."
Pekarangan Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmakdis, yang ditadbir oleh Israel, menjadi medan pertempuran antara polis Israel dengan jemaah Muslim sejak Jumaat lalu. Ia keganasan paling buruk sejak 2017, dicetuskan oleh usaha Yahudi bertahun-tahun lamanya untuk merampas rumah-rumah warga Palestin di timur Baitulmakdis.
Rusuhan berlaku ketika para jemaah berduyun-duyun ke sana untuk menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan.
Kompleks di Kota Lama itu adalah sebuah tapak amat sensitif yang suci bagi kedua-dua agama Islam dan Yahudi.
Polis Israel sekali lagi berdepan dengan ramai warga muda Palestin di beberapa lokasi di timur Baitulmakdis semalam (9 Mei).
Polis melepaskan bom-bom renjatan dan menyembur air berbau busuk ke arah penduduk Palestin di luar Gerbang Damsyik di Bandar Lama dan bergelut dengan para remaja di kejiranan Sheikh Jarrah, di tengah-tengah serangan-serangan terpencil lain di kawasan itu.
Ratusan cedera dalam pertempuran terbaru pada Isnin antara warga Palestin dengan pasukan keselamatan Israel di Baitulmakdis sedang satu perarakan terancang, bagi menandakan rampasan kota suci itu pada tahun 1967 oleh Israel, mengancam akan menimbulkan lagi ketegangan.
MASJID-MASJID S'PURA ADAKAN DOA
MUIS menyatakan masjid-masjid di serata Singapura akan memanjatkan doa memohon keamanan dalam hari-hari terakhir Ramadan ini. Ia menggesa masyarakat Islam supaya turut melakukan serupa.
Demi membantu penduduk Palestin ini juga, MUIS menyatakan terdapat pelbagai usaha bantuan oleh pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang berwibawa di mana masyarakat boleh membuat sumbangan.
"MUIS sangat bersetuju dengan pendirian Singapura yang menyokong huraian dua negara dengan Israel dan Palestin hidup sebelah-menyebelah secara amanan dan keamanan," menurut penguasa Islam tempatan itu.
Sementara itu Mahkamah Tinggi Israel menangguhkan kes tentang nasib beberapa keluarga Palestin yang mungkin diusir daripada rumah masing-masing di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah pada Isnin. Sesi mahkamah mengenai kes tersebut bakal dijadualkan semula dalam masa 30 hari.
Isu di Sheikh Jarrah itu menjadi sebab lebih ramai warga Palestin dan Israel mengadakan tunjuk perasaan dalam usaha menegakkan pendirian masing-masing.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad mempertahankan respons Israel terhadap tunjuk perasaan tersebut dan rusuhan di Baitulmakdis.
"Kami akan menegakkan undang-undang dan ketenteraman - dengan giat dan bertanggungjawab," kata Encik Netanyahu sambil berikrar akan "melindungi hak kebebasan beragama bagi semua agama".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.