Serangan kereta api di Pakistan: Operasi menyelamat dihambat pengebom nekad, dedah sumber

Seorang askar berusaha memindahkan penumpang yang dibebaskan dalam serangan kereta api di Balochistan pada 11 Mac 2025. (Gambar: Banaras KHAN / AFP)
ISLAMABAD: Beberapa penyerang yang memakai jaket bom nekad sedang duduk bersebelahan penumpang yang dijadikan tebusan selepas sebilangan anggota militan menyerang sebuah kereta api di barat daya Pakistan, menurut sumber pada Rabu (12 Mac).
Ini sekali gus merumitkan lagi usaha menyelamat sehari selepas kejadian serangan yang pertama seumpama itu berlaku di negara tersebut.
Anggota militan pemisah meletupkan landasan kereta api dan mula menembak di atas Jaffar Express pada Selasa (11 Mac), semasa ia dalam perjalanan daripada ibu kota Balochistan di Quetta, ke Peshawar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Tentera Pakistan telahpun menyelamatkan 155 penumpang, dan pemerintah menyatakan bahawa sebuah operasi keselamatan dijalankan untuk membebaskan puluhan tebusan yang masih lagi ditahan, tanpa memberikan jumlah tetap.
<<BACA: Serangan kereta api di Pakistan: Pasukan keselamatan selamatkan 155 penumpang, bunuh 27 pengganas>>
Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), sebuah kumpulan bersenjata etnik, mengaku tanggungjawab ke atas serangan berkenaan, dan mengancam akan mula membunuh tebusan.
Ini melainkan tahanan politik Baloch, aktivis, dan orang yang hilang yang dikatakan telah diculik oleh tentera, dibebaskan dalam masa 48 jam.
BLA menyatakan pada Selasa bahawa ia menahan 214 orang tebusan, dan sumber keselamatan memberitahu Reuters bahawa terdapat 425 penumpang di dalam kereta api itu ketika serangan berlaku.
Jumlah anggota militan yang terlibat dalam serangan tidak jelas.
BEBERAPA PENUMPANG DIBUNUH, MENURUT SAKSI
Sebilangan daripada mereka yang diselamatkan dibawa ke Quetta pada awal Rabu, diiringi oleh tentera keselamatan, di mana keluarga mereka menantikan mereka.
"Orang ramai diserang... penumpang cedera, dan beberapa penumpang maut," kata Muhammad Ashraf, yang berada di dalam kereta api pada waktu itu.
Beberapa saksi yang ditemui Geo News berkata bahawa mereka diminta oleh kakitangan keselamatan untuk menyorok apabila berlakunya tembakan.
Pakistan Railways telah menggantung semua operasi dari wilayah Punjab dan Sindh ke Balochistan sehingga agensi-agensi keselamatan mengesahkan kawasan tersebut selamat, menurut laporan media tempatan pada Rabu.
Menteri wilayah Mir Zahoor Buledi memberitahu wartawan bahawa pemerintah sedang berusaha untuk meningkatkan keadaan keselamatan di rantau itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.