Serangan ke atas Iran jejas kredibiliti Amerika, kata China
China menyatakan bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran menjejas kredibiliti Washington sambil menyuarakan kebimbangan bahawa situasi tersebut “mungkin menjadi tidak terkawal”, lapor penyiar negara itu menyusuli mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Ahad (23 Jun).
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berjabat tangan dengan Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong, sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB menyusuli serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran, di ibu pejabat PBB di Bandar New York, pada 22 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Eduardo Munoz)
Presiden Donald Trump sebelum ini menyatakan bahawa Amerika Syarikat sudah “memusnahkan” tapak nuklear utama Tehran, sekali gus menyertai Israel dalam tindakan ketenteraan terbesar Barat terhadap Republik Islam itu sejak revolusi 1979.
Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat pada Ahad untuk membincangkan serangan Amerika Syarikat terhadap tapak nuklear Iran, di mana Rusia, China dan Pakistan mencadangkan agar badan 15 anggota itu menerima pakai ketetapan bagi menggesa gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di Timur Tengah.
Duta China ke PBB, Fu Cong, berkata semua pihak perlu mengawal diri daripada “dorongan untuk menggunakan kekerasan, mengelak daripada memburukkan konflik dan menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang”, menurut laporan penyiar rasmi CCTV.
Encik Fu menambah bahawa pihak-pihak terlibat, khususnya Israel, “harus segera menghentikan serangan bagi mengelakkan situasi daripada terus memuncak dan mencegah peperangan daripada merebak ke kawasan lain”.
Iran terkesan dalam serangan itu, namun “kredibiliti Amerika Syarikat juga terjejas – baik sebagai sebuah negara mahupun sebagai peserta dalam sebarang rundingan antarabangsa,” kata Encik Fu.
Dalam satu ulasan media rasmi pada lewat Ahad, tindakan Amerika Syarikat itu disifatkan sebagai sangat berbahaya dan bersifat provokatif.
Akhbar Global Times dalam ruangan pendapat menyatakan bahawa campur tangan ketenteraan luar tidak akan membawa keamanan, sebaliknya “hanya akan membawa lebih banyak kebencian dan trauma serantau”.
Sementara itu, Kedutaan China di Iran memaklumkan pada lewat Ahad bahawa sebahagian besar warga China di Iran sudah dipindahkan dengan selamat, manakala yang masih berada di negara itu tidak berada di kawasan berisiko tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.