Skip to main content

Dunia

Serangan Israel di Lubnan bunuh 4 orang meski di tengah gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
 Serangan Israel di Lubnan bunuh 4 orang meski di tengah gencatan senjata

Gambar dipetik dari selatan Lubnan menunjukkan kepulan asap dari tapak serangan udara Israel yang sasarkan perkampungan al Mansouri, 6 Mei 2026. (Gambar: AFP/Kawnat Haju)

Diterbitkan : 07 May 2026 06:14AM Dikemas Kini : 07 May 2026 06:16AM
BEIRUT: Serangan Israel di lembah Bekaa, timur Lubnan, membunuh empat orang pada Rabu (6 Mei). Sementara itu, tentera Israel menyatakan mereka sudah menyerang sasaran Hezbollah di bahagian selatan selepas memberi amaran kepada penduduk di puluhan pekan untuk berpindah.

Israel dan Hezbollah saling menuduh antara satu sama lain kerana melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 17 April. Hezbollah mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa operasi yang menyasarkan tentera Israel di selatan Lubnan, serta serangan ke atas utara Israel.

Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan bahawa serangan udara Israel di pekan Zellaya, wilayah Bekaa Barat, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang maut, termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga emas.

Media rasmi Lubnan melaporkan bahawa serangan itu terkena rumah datuk bandar pekan tersebut, membunuh beliau serta tiga anggota keluarganya.

Pekan tersebut diserang sejurus sebelum tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan yang melibatkan Zellaya serta 11 pekan dan kampung lain di selatan Lubnan. Kebanyakan kawasan ini terletak di utara Sungai Litani dan di luar kawasan yang diduduki oleh tentera Israel.

Tentera Israel kemudian mengumumkan dalam satu kenyataan ringkas bahawa mereka sudah "mula menyerang tapak prasarana keganasan Hezbollah di beberapa kawasan di Lubnan" dan mengulangi amaran supaya para penduduk berpindah.

Israel melancarkan serangan udara dan bedilan meriam ke atas beberapa pekan, termasuk beberapa kawasan yang penduduknya diberi amaran untuk berpindah sebelum ini. Salah satu serangan terkena pekan Yohmor al-Shaqeef di daerah Nabatieh.

Gambar daripada AFP menunjukkan kepulan asap tebal di belakang istana bersejarah Beaufort Castle. Istana itu pernah digunakan oleh tentera Israel sebagai pangkalan semasa mereka menduduki selatan Lubnan selama dua dekad yang berakhir pada tahun 2000.

Media pemerintah melaporkan beberapa siri serangan udara di selatan, termasuk serangan bersasar ke atas sebuah kereta serta "kerosakan besar" ke atas rumah-rumah penduduk dan prasarana.

Hezbollah pula dalam beberapa kenyataan mengumumkan bahawa mereka menyasarkan tentera dan kenderaan Israel di beberapa pekan sempadan di selatan Lubnan. Mereka menyatakan serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap "pelanggaran gencatan senjata oleh musuh (Israel)".

Serangan Israel di Lubnan membunuh lebih 2,700 orang sejak 2 Mac, termasuk puluhan mangsa sejak gencatan senjata 17 April yang diuruskan oleh Washington dengan wakil Israel dan Lubnan.

Tentera Israel menyatakan bahawa mereka juga kehilangan 17 anggota tentera dan seorang kontraktor awam dalam pertempuran tersebut.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita