Skip to main content

Dunia

Serangan Israel di Gaza ragut 23 nyawa, antara paling dahsyat sejak gencatan senjata Okt 2025

Israel membunuh sekurang-kurangnya 23 rakyat Palestin dalam serangan di seluruh Carikan Gaza, antara hari paling berdarah, sejak gencatan senjata yang bermula pada Oktober tahun lalu, menurut sumber perubatan.
Anggaran Waktu Membaca:
 Serangan Israel di Gaza ragut 23 nyawa, antara paling dahsyat sejak gencatan senjata Okt 2025
Seorang rakyat Palestin yang cedera dibawa menggunakan kerusi roda melepasi dua mayat yang ditutup dengan selimut selepas terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas sebuah kem khemah. (Gambar: AP)
Diterbitkan : 05 Feb 2026 08:36AM Dikemas Kini : 05 Feb 2026 08:37AM
GAZA: Israel membunuh sekurang-kurangnya 23 rakyat Palestin dalam serangan di seluruh Carikan Gaza, antara hari paling berdarah, sejak gencatan senjata yang bermula pada Oktober tahun lalu, menurut sumber perubatan.

Sumber itu memberitahu Al Jazeera bahawa beberapa kanak-kanak turut menjadi mangsa dalam serangan pada Rabu (4 Feb), termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh akibat bedilan Israel di kawasan kejiranan Tuffah dan Zeitoun di Gaza City.

Empat lagi dilaporkan maut dalam serangan ke atas khemah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis, di selatan Gaza.

Dua lagi terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kem tepi pantai al-Mawasi.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan seorang daripada mangsa ialah petugas kecemasan, Hussein Hasan Hussein al-Sumairy.

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum, yang melaporkan dari Khan Younis berkata beberapa rumah kediaman di Gaza City disasarkan secara langsung tanpa sebarang amaran awal.

Beliau berkata serangan yang berlaku walaupun gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat masih berkuat kuasa menyebabkan penduduk Gaza terus hidup dalam ketakutan.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan unit berperisai dan pesawatnya melancarkan serangan di utara Gaza selepas seorang pegawai simpanan mereka cedera parah akibat tembakan ketika menjalankan operasi rutin berhampiran “garisan kuning”, iaitu kawasan di bawah kawalan tentera Israel.

Menurut laporan, Israel turut mengubah kedudukan “garisan kuning” di timur Gaza, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Israel dilaporkan membunuh lebih 520 rakyat Palestin sejak gencatan senjata berkuat kuasa hampir empat bulan lalu.

Sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 71,803 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia serta siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan ketenteraan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai, manakala kes berkaitan sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita