Skip to main content

Dunia

Serangan Israel di Carikan Gaza ragut 92 nyawa dalam tempoh 24 jam

Pertumpahan darah penduduk Palestin di Carikan Gaza berterusan dengan 92 orang maut dalam serangan-serangan Israel dalam tempoh 24 jam.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan Israel di Carikan Gaza ragut 92 nyawa dalam tempoh 24 jam

Kepulan asap di Carikan Gaza berikutan serangan Israel pada 11 Jun 2025. (Gambar: AFP/Jack Guez)

CARIKAN GAZA: Pertumpahan darah penduduk Palestin di Carikan Gaza berterusan dengan 92 orang maut dalam serangan-serangan Israel dalam tempoh 24 jam.

Mereka termasuk 16 penduduk yang berkumpul di kawasan tempat agihan makanan kelolaan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Lagi 64 penduduk maut dalam serangan-serangan Israel di Bandar Gaza dan di bahagian utara wilayah tersebut.

Menurut para pegawai perubatan Gaza, dalam beberapa hari kebelakangan ini, puluhan warga Palestin terkorban akibat tembakan tentera Israel semasa cuba mendapatkan makanan dari lori bantuan.

Pihak tentera Israel bagaimanapun tidak segera memberikan komen mengenai kejadian tersebut.

Ia menyatakan pasukannya melepaskan tembakan amaran untuk menyuraikan orang ramai berhampiran kawasan operasi dan sedang mengkaji laporan mengenai kematian orang awam.

Israel menyalurkan bantuan melalui GHF yang mengendalikan beberapa tapak pengedaran di kawasan yang dikawal tentera Israel.

Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik sistem tersebut sebagai tidak mencukupi dan berat sebelah.

Dalam pada itu, agensi kanak-kanak PBB (UNICEF) turut memaklumkan pada Jumaat bahawa para penduduk Gaza kini menghadapi krisis kekurangan air akibat perang, dengan sistem bekalan air di wilayah itu hampir runtuh.

"Kanak-kanak akan mula mati akibat kehausan ... Hanya 40% kemudahan pengeluaran air minuman masih berfungsi," kata jurucakap UNICEF, James Elder, kepada para pemberita di Geneva.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita