Skip to main content

Dunia

Serangan Hamas akan timbulkan ancaman pengganas terbesar di Amerika sejak ISIS: Pengarah FBI

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan Hamas akan timbulkan ancaman pengganas terbesar di Amerika sejak ISIS: Pengarah FBI

(Gambar: WIN MCNAMEE / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 01 Nov 2023 07:54AM Dikemas Kini : 01 Nov 2023 07:55AM
WASHINGTON: Serangan Hamas ke atas Israel akan menimbulkan ancaman pengganas terbesar di Amerika Syarikat sejak kebangkitan ISIS hampir sedekad lalu, kata Pengarah FBI Christopher Wray di perbicaraan kongres pada Selasa (31 Okt).

Wray berkata bahawa sejak permulaan konflik Israel-Palestin di Gaza awal bulan lalu, beberapa pertubuhan pengganas asing telah menggesa serangan terhadap rakyat Amerika dan negara-negara Barat, meningkatkan lagi ancaman yang ditimbulkan oleh pelampau ganas tempatan di AS.

"Tindakan Hamas serta penyokongnya akan menjadi inspirasi seperti mana yang belum kita saksikan sejak ISIS melancarkan apa yang dikatakan sebagai khilafah beberapa tahun lalu," kata Wray, seperti ditukil laporan Reuters.

Kenyataan itu dibuat semasa sebuah perbicaraan di hadapan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kerajaan Senat Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada ancaman ke atas negara itu.

Pemerintah Amerika telah menyaksikan peningkatan ancaman terhadap orang Yahudi, Muslim dan Arab Amerika sejak pertempuran itu bermula di Gaza, menurut para pegawai.

Jumlah serangan ke atas pangkalan tentera Amerika di luar negara oleh kumpulan militan yang disokong oleh Iran juga meningkat bulan itu, menurut Wray. Serangan siber terhadap AS yang dijalankan oleh Iran serta pertubuhan tanpa negara lain dijangka akan bertambah jika konflik itu meluas, katanya, menurut laporan Reuters.

Misi Iran kepaada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Dalam perbicaraan itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro Mayorkas berkata bahawa kebencian terhadap pelajar Yahudi di Amerika susuli permulaan konflik Israel-Palestin di Gaza turut menyebabkan peningkatan antisemitisme atau anti-Yahudi.

Rumah Putih menyatakan kebimbangan minggu ini mengenai laporan perbuatan anti-Yahudi di universiti-universiti Amerika sedang ketegangan mendorong pegawai universiti untuk mengetatkan keselamatan, lapor Reuters.

Di sebuah sidang puncak perisian tebusan (ransomware) di Rumah Putih pada Selasa, Peguam Negara Merrick Garland berkata bahawa beliau telah mengarahkan Jabatan Kehakiman Amerika untuk membantu penyiasat Israel menyiasat aliran kewangan kepada Hamas, termasuk yang melibatkan mata wang kripto.
 
Sumber : AGENCIES/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita