Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serangan di kemudahan minyak Jeddah tidak jejas bekalan domestik: Saudi Aramco

Saudi Aramco menyatakan pada Selasa (24 Nov) bahawa serangan kumpulan Houthi ke atas kemudahan pengedaran produk petroleum di utara bandar Jeddah, tidak menjejas bekalan minyak domestiknya, dengan operasi disambung semula tiga jam selepas kejadian itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan di kemudahan minyak Jeddah tidak jejas bekalan domestik: Saudi Aramco

Kerosakan tangki minyak Saudi Aramco akibat serangan Houthi pada 23 Nov 2020 (Gambar: REUTERS/Nael Shyoukhi)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 09:22PM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 09:32PM

JEDDAH: Saudi Aramco menyatakan pada Selasa (24 Nov) bahawa serangan kumpulan Houthi ke atas kemudahan pengedaran produk petroleum di utara bandar Jeddah, tidak menjejas bekalan minyak domestiknya, dengan operasi disambung semula tiga jam selepas kejadian itu.

Pasukan Houthi di Yaman yang berpihak kepada Iran pada Isnin menyatakan mereka melepaskan peluru berpandu yang terkena kemudahan itu. Pihak berkuasa Arab Saudi kemudian mengesahkan serangan tersebut.

Kemudahan pengeluaran dan eksport minyak Aramco kebanyakannya terletak di Wilayah Timur Arab Saudi, lebih 1,000 km dari Jeddah.

Salah satu daripada 13 tangki yang digunakan bagi minyak diesel, petrol dan bahan bakar jet di Loji Jeddah Utara Aramco kini tidak berfungsi, kata pengurus kemudahan itu Abdullah al-Ghamdi kepada wartawan dalam satu lawatan.

Encik Ghamdi berkata mereka masih menilai skala dan kos kerosakan akibat serangan yang berlaku pada 3.50 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Beliau menggambarkan lapangan itu sebagai "kemudahan kritikal" dengan kapasiti simpanan sebanyak 5.2 juta tong. Ia dapat mengedarkan lebih 120,000 tong produk setiap hari dalam negeri ke Jeddah, Makkah dan wilayah al-Baha.

"Dalam masa seminit pasukan bertindak memulakan sistem pemadam kebakaran yang dipasang pada tangki itu sendiri. Satu atau dua minit kemudian anggota bomba tiba di tempat kejadian," kongsi Encik Ghamdi.

Kebakaran itu dipadamkan sekitar 40 minit tanpa sebarang kecederaan, katanya.

"Ia merupakan kebakaran besar, letupan besar, tetapi ditangani dengan cepat," katanya lagi.

Peluru berpandu itu terkena tangki simpanan, yang mempunyai kapasiti maksimum 500,000 tong, menyebabkan "kerosakan besar" pada bumbungnya, dengan lubang sekitar 2 meter persegi, menurut pegawai itu.

Tanda-tanda hitam dan beberapa kerosakan di bahagian atasnya kelihatan.

Serangan pada Isnin berlaku kurang dua minggu setelah kebakaran dekat platform terapung milik terminal produk minyak Jazan itu ditangani tanpa kecederaan.

Kebakaran itu adalah satu lagi percubaan serangan Houthi di mana gabungan yang dipimpin Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan dua kapal yang sarat dengan bahan letupan di selatan Laut Merah.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan