Serangan Christchurch akibat bahasa politik toksik: PBB
Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi menyalahkan "bahasa politik beracun' menyasarkan golongan pelarian, pendatang dan orang asing atas serangan dua masjid Christchurch.

NEW YORK: Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi menyalahkan "bahasa politik beracun" menyasarkan golongan pelarian, pendatang dan orang asing atas serangan dua masjid Christchurch.
Encik Grandi memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa beliau tidak pernah menyaksikan "toksik dan racun sebegitu" menyasarkan orang-orang asing dalam bahasa politik dan media sepanjang bertugas di PBB selama 30 tahun.
"Itu seharusnya menjadi perhatian kita semua. Apa yang kita lihat di Christchurch, New Zealand adalah hasil daripada bahasa toksik politik," katanya.
Pesuruhhaya Tinggi Pelarian PBB itu menyatakan, dunia sepatutnya "melihat kepada New Zealand sebagai contoh dalam responsnya" kepada serangan pada 15 Mac yang membunuh 50 orang Muslim.
Seorang warga Australia, Brenton Tarrant, 28, menghadapi 50 tuduhan membunuh setelah melepaskan tembakan di dua masjid di New Zealand.
Encik Grandi memuji New Zealand kerana menunjukkan bahawa "masyarakat tidak akan benar-benar makmur jika mereka tidak bersikap inklusif kepada semua."
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menyifatkan pembunuhan di masjid itu sebagai "serangan pengganas" terancang dan mengambil langkah-langkah segera untuk mengetatkan undang-undang senjata negara itu.
Cik Ardern dipuji kerana sifat ihsannya termasuk memakai hijab semasa bertemu dengan keluarga-keluarga yang kehilangan orang-orang tersayang dalam serangan itu.
Kerajaan di Wellington juga menyatakan ia akan mengkaji semula undang-undang mengenai ucapan kebencian dan menggesa syarikat-syarikat gergasi media sosial untuk meningkatkan usaha membanteras ektremisme online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.