Skip to main content

Dunia

Seragam pramugari boleh patuh syariah jika ikut kriteria, kata Menteri Pengangkutan M’sia

"Seragam baju kebaya (oleh Malaysia Airlines Berhad) mencerminkan budaya Malaysia yang menunjukkan layanan mesra kepada penumpang," katanya ketika sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat pada Rabu (1 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Seragam pramugari boleh patuh syariah jika ikut kriteria, kata Menteri Pengangkutan M’sia

Gambar hiasan pesawat Malaysia Airlines. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 02 Aug 2018 08:19AM Dikemas Kini : 02 Aug 2018 08:31AM

MALAYSIA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa kerajaan tiada masalah jika pramugari beragama Islam memilih pakaian yang menepati kehendak syariah, selagi ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta syarikat penerbangan. Ini menurut Malaysiakini.

Katanya, kriteria yang ditetapkan syarikat penerbangan adalah seragam perlu membolehkan pekerja menjalankan tugas ketika berlaku kecemasan dan sesuai dengan imej korporat dan identiti Malaysia.

"Seragam baju kebaya (oleh Malaysia Airlines Berhad) mencerminkan budaya Malaysia yang menunjukkan layanan mesra kepada penumpang," katanya ketika sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat pada Rabu (1 Ogos).

Isu seragam pramugari sekali lagi ditimbulkan pada sesi perbahasan Parlimen kali ini, lapor Malaysiakini.

Ia dibangkitkan Cik Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) ketika perbahasan titah diraja pada 25 Julai lalu.

Ketika itu, beliau antara lain berkata bahawa ada wanita beragama Islam yang bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki.

Menurut Malaysiakini lagi, Encik Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pula bertanya sama ada kerajaan akan menggesa Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membenarkan pramugari beragama Islam untuk memakai tudung ketika bertugas.

Menjawab soalan itu, Encik Loke berkata bahawa beliau akan berbincang dengan pengurusan MAB tetapi menjelaskan setakat ini belum ada apa-apa perubahan daripada peraturan sedia ada.

Encik Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) pula mempersoalkan seragam pramugari syarikat penerbangan negara ini yang menurutnya lebih menjolok mata berbanding syarikat penerbangan luar negara.

Mengulas kenyataan itu, Encik Loke meminta sesiapa yang merasakan seragam pramugari terlalu menjolok mata untuk 'mengalihkan pandangan' mereka.

"Saya tiada komen kerana ia perkara subjektif. Kalau Yang Berhormat rasa itu menjolok mata, jangan pandang pramugari tersebut," katanya lagi.

Jawapan itu mengundang ketawa daripada anggota parlimen lain dalam Dewan Rakyat, tetapi tidak bagi Encik Che Abdullah.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita