Sepit rambut wanita tercacak pada kepala susuli nahas jalan raya di China
Bagi mereka yang berasa kurang selesa setiap kali menggunakan sepit rambut, kejadian ini mungkin akan membuat anda fikir dua kali sebelum menggunakan perhiasan rambut itu.

Doktor di Hospital Besar Perubatan 363 di Chengdu cuba mengeluarkan serpihan sepit rambut dari kepala wanita berkenaan. (Gambar: Weibo/363HOSPITAL)
Seorang wanita berusia 61 tahun mengalami cedera parah selepas beliau dilanggar oleh sebuah kereta ketika sedang melintasi jalan raya di Chengdu, China.
Namun bahayanya bukan akibat kemalangan itu, tetapi kerana sepit rambut wanita itu tercacak pada sebahagian kulit kepalanya.
Penduduk asal Chengdu itu, yang dikenali sebagai Du, terhentak kepalanya selepas kemalangan itu berlaku pada 3 Februari lalu.
Sepit rambutnya yang diperbuat daripada besi kemudian "tercacak pada kulit kepalanya" apabila beliau terjatuh, menurut laman berita online dari China, 163.com.
Du dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedar, lapor berita tempatan.
Separuh bahagian sepit rambutnya itu bahkan masih tercacak pada kulit kepalanya.
Menerusi imej imbasan CT, para doktor di Hospital Besar Perubatan 363 menemui serpihan sepit rambutnya, yang terletak beberapa milimeter dari pangkal otak dan saraf serta saluran darah dalam otak Du.
Tiga daripada gigi sepit rambutnya itu sudah jauh tercacak ke dalam kepala Du, kata anggota perubatan kecemasan Dr Tian Fengming kepada wartawan pada 8 Februari lalu.
Mujur, ia tidak menembusi tengkorak Du, justeru memudahkannya untuk dikeluarkan, katanya.
Namun sebarang kesilapan kecil boleh menyebabkan pendarahan dan mencetuskan 'kerosakan saraf serius secara berkekalan', katanya.
Selepas disuntik dengan ubat pelali, Dr Tian dan pasukannya berjaya mengeluarkan sepit rambut itu dalam masa 10 minit.
"Mujur ia dapat dikeluarkan dengan selamat dan pesakit kini dalam keadaan stabil," kata Dr Tian.
BAHAYA DALAM NAHAS JALAN RAYA
Sepit rambut ialah aksesori fesyen harian yang popular dalam kalangan wanita di mana ia berfungsi mengapit dan merapikan rambut mereka.
Tidak seperti getah rambut, ia tidak mencetuskan tekanan pada kulit kepala atau merosakkan rambut.
Namun penggunaan sepit rambut, terutama sekali yang diperbuat daripada besi, agak membahayakan kerana ia disepit pada bahagian belakang kepala dan menjadi bahaya kesihatan yang serius apabila dipakai dalam kenderaan yang bergerak sekiranya berlaku kemalangan, kata Dr Tian.
Untuk menggariskan potensi bahaya daripada penggunaan sepit rambut, Pentadbiran Bomba dan Penyelamat Kebangsaan menggunakan buah embun madu atau honeydew untuk menunjukkan bagaimana sepit rambut yang tajam itiu boleh tercacak pada kepala seseorang jika berlaku kemalangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.