Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sephora Amerika Syarikat ditutup selepas insiden perkauman

Rangkaian kecantikan milik LVMH, Sephora, menyatakan ia akan menutup semua kedai, pusat pengedaran serta pejabat korporatnya di Amerika Syarikat pada Rabu (5 Jun) untuk mengadakan latihan kepelbagaian bagi kakitangannya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sephora Amerika Syarikat ditutup selepas insiden perkauman

Halaman sebuah kedai Sephora di Times Square, New York, Amerika Syarikat. (Gambar: Carlo Allegri/REUTERS)

Diterbitkan : 03 Jun 2019 10:36AM Dikemas Kini : 03 Jun 2019 10:38AM

NEW YORK: Rangkaian kecantikan milik LVMH, Sephora, menyatakan ia akan menutup semua kedai, pusat pengedaran serta pejabat korporatnya di Amerika Syarikat pada Rabu (5 Jun) untuk mengadakan latihan kepelbagaian bagi kakitangannya. Langkah tersebut diambil ekoran insiden perkauman melibatkan seorang penyanyi yang menerima pencalonan Grammy.

Penyayi R&B SZA, seorang kulit hitam, berkata pada April bahawa beliau menjadi sasaran perkauman di sebuah kedai Sephora dekat Calabasas, California.

Para wakil Sephora dan LVMH tidak menjawab pertanyaan mengenai alasan bagi latihan berkenaan, yang disifatkan syarikat itu sebagai "bengkel bersifat inklusif". Pemilik Louis Vuitton, LVMH, berpangkalan di Paris.

SZA berkata seorang pekerja Sephora yang beliau kenal pasti sebagai 'Sandy' memanggil pegawai keselamatan untuk memastikan bahawa penyanyi itu tidak mencuri daripada kedai berkenaan.

Dalam responsnya kepada salah satu catatan Twitter penyanyi itu mengenai kejadian tersebut, Sephora menyatakan: "Anda ialah sebahagian daripada keluarga Sephora dan kami komited untuk memastikan setiap anggota masyarakat kami rasa dialu-alukan serta diterima di kedai-kedai kami,"

SZA pernah dicalonkan bagi anugerah Grammy dan bekerjasama dengan Kendrick Lamar bagi lagu 'All the Stars' untuk filem pecah panggung 'Black Panther'.

Ketika mengumumkan tentang bengkel itu, Sephora menyatakan: "Kami tidak akan berhenti membangunkan sebuah masyarakat di mana kepelbagaian itu dijangkakan, luahan pandangan dihormati, semua dialu-alukan dan termasuk diri anda."

Berikutan catatan Twitter SZA mengenai insiden perkauman itu, ulasan bagi kedai itu di laman Google melonjak dengan ramai pengguna mengutuk Spehora atas kejadian berkenaan.

Bengkel Sephora itu diadakan setahun selepas Starbucks menutup hampir 8,000 kedainya di seluruh negara untuk mengadakan latihan anti-berat sebelah. Ini setelah seorang pengurus kafe Philadelphia menghubungi polis lalu menyebabkan dua lelaki kulit hitam yang sedang menantikan teman mereka ditahan.  

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa