Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sepanduk dikoyakkan, cercaan berbaur perkauman, budaya membenci cemari kempen PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
 Sepanduk dikoyakkan, cercaan berbaur perkauman, budaya membenci cemari kempen PRU15

Sepanduk kempen bagi calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Hannah Yeoh dirosakkan di Segambut, Kuala Lumpur. (Gambar: hannahyeoh/Twitter)

MUAR, Johor: Calon Pakatan Harapan (PH) Sheikh Umar Bagharib Ali sedang berjalan menuju ke pusat penamaaan calon Ayer Hitam pada Sabtu lalu (5 Nov) apabila beliau terdengar sesuatu yang membuatkan beliau menghentikan jejaknya.

"Apabila kami melalui kawasan di mana berdirinya para penyokong Barisan Nasional (BN), sekumpulan daripada mereka sedang melaung-laungkan kata-kata berunsur rasis yang ditujukan kepada saya," kata Sheikh Umar, 41 tahun, dalam wawancara bersama Mediacorp.

"Saya bersemuka dengan mereka dan berkata: tolong jangan bersikap diskriminasi di sini. Ia mengecewakan apabila mereka memilih untuk berkelakuan sedemikian dengan begitu berani sekali," tambah beliau.

Cercaan yang dilemparkan merujuk kepada Encik Sheikh Umar, seorang calon Melayu, yang bertanding di kawasan Ayer Hitam di bawah Parti Tindakan Demokratik (DAP) di mana kebanyakan ahlinya daripada kaum Cina.

Kerusi Parlimen Ayer Hitam dipegang oleh Wee Ka Siong daripada BN, yang akan bertanding untuk penggal kelimanya.

Parti komponen terbesar BN adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti nasionalis Melayu yang semakin condong berhaluan kanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Persaingan untuk merebut kerusi Ayer Hitam dijangka sengit kerana semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 (PRU14), Dr Wee menang tipis dengan meraih 303 undi menentang calon DAP.

"Saya faham bahawa persaingan sengit tetapi tidak perlu sehingga bersikap rasis," tambah Encik Sheikh Umar yang memuat naik satu catatan di Facebook untuk berkongsi insiden yang berlaku itu.

“Namun, kami tidak akan membiarkannya begitu saja. Kami akan berusaha untuk menjaga keselamatan para calon, akar umbi dan penyokong kami bagi kempen ini," kata bekas ahli dewan undangan negeri itu.

Para pengamat politik mengatakan PRU15 pada 19 November dijangka menjadi pilihan raya umum paling sengit dalam sejarah Malaysia.

Namun, insiden-insiden melibatkan politik negatif dan budaya membenci telah mencemari kempen pilihan raya.

Insiden yang melibatkan Encik Sheikh Umar hanyalah satu daripadanya.

Sebelum Hari Penamaan Calon pada 5 November lalu, dua acara berasingan yang dianjurkan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) - sebuah parti bertunjangkan belia - diganggu oleh para individu yang mengejek dan membaling botol-botol plastik ke arah orang ramai.

Akibatnya, beberapa penyokong parti tersebut mengalami kecederaan. Sebuah kereta kepunyaan seorang anggota kanan parti itu juga mengalami kerosakan akibat insiden tersebut.

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mediacorp insiden seumpama itu semakin kerap berlaku dan partinya bertindak untuk mengambil khidmat kakitangan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga ketika berkempen.

"Saya mahu menumpukan kepada politik dan kemaslahatan orang ramai," ujar Encik Syed Saddiq, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar di PRU15.

"Saya bukan berada di sini kerana permusuhan atau kerana saya ingin memecahbelahkan perlembagaan. Saya tidak berkecil hati tetapi saya mahu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan sebuah Malaysia yang lebih baik," tekan beliau.

Sementara itu, di kawasan Segambut di Kuala Lumpur, calon DAP Hannah Yeoh menulis di Twitter menyatakan bahawa papan iklan kanvas yang membentangkan posternya di Taman Tun Dr Ismail sudahpun dirosakkan.

Beliau memuat naik gambar-gambar menunjukkan beberapa sepanduk yang berlubang dengan bahagian yang memaparkan wajahnya dikoyakkan.

Beliau turut mendakwa sepanduk-sepanduk lain juga dikoyakkan dan beberapa bendera parti yang digantung di pagar laluan pejalan kaki sudah diturunkan.

"Para penduduk Taman Tun Dr Ismail menghubungi saya pagi ini untuk memberitahu saya bahawa bendera-bendera Harapan (PH) ditanggalkan, sepanduk saya dirosakkan dan papan iklan saya dimusnahkan di beberapa lokasi," kata Ahli Parlimen Segambut itu.

"Ia menyedihkan kerana kami bukan orang kaya. Ini permainan politik kotor yang menjijikkan," tulis Cik Yeoh.

Beliau akan membiarkan papan iklan dan sepanduk yang rosak dalam keadaan sedemikian sebagai peringatan kepada para pengundi terhadap "permainan kotor yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak" semasa berkempen.

Para Rabu, Pengarah Bahagian Operasi Pilihan Raya Umum di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Pesuruhjaya Hazani Ghazali, dilaporkan berkata bahawa terdapat sekurang-kurangnya 10 kes melibatkan bahan-bahan kempen seperti poster, sepanduk dan bendera yang koyak atau rosak dilaporkan di beberapa negeri serta juga di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah polis sudah membuka 22 kertas siasatan melibatkan kesalahan-kesalahan berkaitan PRU15.

Bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan kenyataan bagi menyeru semua calon dan penyokong parti politik supaya mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada Sabtu lalu (5 Nov).

Al-Sultan Abdullah juga menasihatkan para calon supaya mengelakkan provokasi dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis.

BUDAYA MEMBENCI BERPUNCA DARI POLARISASI KAUM

Pengamat politik, Dr Serina Rahman, yang juga seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), berpendapat bahawa budaya membenci atau politik negatif seumpama itu berpunca daripada perbuatan mempolitikkan etnik di Malaysia.

Beliau berkata sesetengah parti politik juga "sangat mahir" dalam mencatur perpecahan etnik untuk mewajarkan kewujudan parti mereka sendiri sedang sesetengah parti ini memperjuangkan kepentingan kaum.

"Dengan pelaziman sebegini selama berdekad-dekad, di mana parti-parti (politik) juga secara aktif menimbulkan ketakutan terhadap kehilangan kuasa etnik, ia boleh membawa kepada keadaan mendebarkan sewaktu pilihan raya," kata Dr Serina.

"Saya rasa sukar untuk Malaysia maju ke hadapan melangkaui politik etnik kerana ia sudah berakar umbi dan perasaan takut itu cukup mendalam," beliau meluahkan pendapatnya.

Sungguhpun demikian, Dr Serina juga menarik perhatian bahawa politik positif juga dapat disaksikan sepanjang kempen PRU15 diadakan sejauh ini.

Misalnya, tukil beliau, bagaimana para calon akan berjabat tangan dan menyapa satu sama lain apabila bertemu di pusat penamaan calon atau jika bertembung ketika sedang berkempen.

Laporan ini dipetik dari cna.com.

Sumber : CNA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan