Skip to main content

Dunia

Seoul tersilap keluarkan amaran selepas Korea Utara lancar satelit

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Pentadbiran bandar Seoul pada Rabu (31 Mei) tersilap mengeluarkan amaran kecemasan menasihatkan penduduk supaya membuat persiapan untuk berpindah setelah Korea Utara melancarkan apa yang didakwanya sebagai roket.

Amaran itu dihantarkan kepada semua penduduk menerusi telefon bimbit mereka pada pukul 6.41 pagi waktu tempatan, sejurus selepas Ketua Turus Bersama Korea Selatan menyatakan Korea Utara melancarkan apa yang didakwanya adalah sebuah roket satelit. 

Namun, Kementerian Dalam Negeri menarik balik amaran tersebut pada pukul 7.03 pagi, sambil menyatakan ia tersilap mengeluarkannya, lapor agensi berita Yonhap. 

"Kami memaklumkan bahawa amaran kecemasan yang dikeluarkan oleh Bandaraya Metropolitan Seoul pada pukul 6.41 pagi adalah satu kesilapan," menurut amaran yang dihantarkan Kementerian Dalam Negeri secara berasingan ke telefon bimbit penduduk. 

"Ia adalah satu tindakan kecemasan yang diambil terhadap kemungkinan krisis berlaku yang mungkin menjejas nyawa dan keselamatan rakyat, apabila tahap risiko pelancar Korea Utara masih belum dikenal pasti," kata seorang pegawai. 

Namun, bandar itu menerima kecaman kerana amaran dihantarkan terlalu lewat dan tidak menjelaskan apa yang sedang berlaku. 

Dalam amaran tersebut, apa yang tertera adalah: "Amaran kecemasan dikeluarkan buat Seoul. Orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah dan kanak-kanak dan warga emas serta golongan lemah akan diutamakan," tanpa mendedahkan apa yang sedang berlaku. 

Amaran itu juga dikeluarkan sembilan minit selepas bandar itu dimaklumkan oleh kementerian berkenaan. 

Datuk Bandar Seoul Oh Se-hoon memohon maaf kerana "menyebabkan kekeliruan", tetapi menekankan penghantaran amaran itu bukan satu kesilapan. 

"Amaran itu dikeluarkan setelah kami membuat penilaian bahawa tindakan segera diperlukan dalam situasi di mana Korea Utara membuat pelancaran ke arah selatan kali ini, bukan seperti pelancaran-pelancaran sebelum ini di mana ia dilancarkan ke arah Laut Timur," kata Encik Oh dalam satu taklimat media. 

"Amaran itu mungkin disebabkan reaksi berlebihan pegawai, tetapi penilaian saya adalah pengeluaran amaran itu bukan satu kesilapan," tekannya. "Kami tidak bertolak ansur terhadap keselamatan rakyat dan prinsip kami untuk bertindak sedemikian mungkin kelihatan berlebihan." 

Semboyan dibunyikan selama lebih 20 minit di kawasan Baengnyeong dan makluman untuk berpindah disiarkan di kawasan tersebut, menurut para penduduk. 

Sebuah pejabat perbandaran memberitahu Yonhap, "Pintu sekitar 20 tempat perlindungan dibuka dan ramai penduduk datang." 

Amaran yang dikeluarkan Bandaraya Seoul itu membuat ramai penduduk terkejut. 

"Setelah menerima amaran untuk berpindah, saya mengejutkan anak saya. Kemudian satu lagi mesej tiba dan berkata ia satu kesilapan. Saya bingung," kata seorang penduduk kepada Yonhap. "Saya lambat ke tempat kerja kerana terpaksa menenangkan anak saya." 

"Saya berasa cemas apabila menerima amaran daripada Bandaraya Metropolitan Seoul kerana tiada garis panduan tentang bagaimana untuk berpindah," kata Kim Sang-rok, 36 tahun, kepada Korea Times. 

"Saya bertambah resah apabila laman Naver tidak boleh dibuka sehinggakan saya terfikir peperangan sudah berlaku." 

Portal internet terbesar Korea Selatan, Naver, mengalamai gangguan disebabkan orang ramai mencari maklumat mengenai pelancaran roket Korea Utara. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita