Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Seoul rancang ujian penerbangan kenderaan mobiliti udara tahun depan

Anggaran Waktu Membaca:
SEOUL: Pemerintah bandar raya Seoul bakal menjalankan ujian penerbangan "kenderaan terbang" di laluan antara Yeouido dan Jamsil pada tahun depan sebagai sebahagian daripada projek untuk mengkomersialkan pengangkutan baru di kawasan bandar. 

Kenderaan terbang yang dikenali sebagai mobiliti udara bandar (UAM), menggunakan pesawat automatik untuk pengangkutan penumpang atau kargo di altitud lebih rendah dalam kawasan bandar dan pinggir bandar tanpa memerlukan landasan.

Korea Selatan menyasarkan untuk menggunakan kenderaan sedemikian dalam perkhidmatan pengangkutan di kawasan metropolitan menjelang tahun 2025, lapor agensi berita Yonhap yang menukil seorang pegawai.

Pemerintah bandar raya Seoul bersama Kementerian Tanah Korea Selatan akan menjalankan ujian demonstrasi sebanyak dua peringkat pada separuh kedua tahun ini untuk mengesahkan dan memastikan keselamatan projek itu. 

Bandar itu akan menjalankan kajian peringkat pertama di kawasan terbuka pada separuh kedua tahun ini dan memilih pengendali projek serta melancarkan ujian peringkat kedua untuk kawasan ibu kota pada tahun depan.

Laluan penerbangan, keselamatan dan rangkaian komunikasi penerbangan, pencemaran bunyi serta lain-lain akan tertakluk kepada ujian di peringkat kedua.

Beberapa laluan penerbangan sudah dipilih untuk ujian peringkat kedua.

Ia termasuk jarak 18 kilometer (km) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo ke daerah barat Yeouido dan laluan 8km antara daerah selatan Jamsil dan Suseo serta di dua laluan masing-masing di wilayah Gyeonggi dan Incheon di barat Seoul.

Bandar raya Seoul juga sedang dalam proses mencari lokasi untuk menjadi tuan rumah vertiport, pendaratan atau platform berlepas untuk kenderaan UAM.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan