Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Seoul optimis Pyongyang akan berunding dengan Washington pada 2018

Korea Selatan hari ini (26 Dis) bersikap optimistik dan meramalkan bahawa Korea Utara akan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat pada tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Seoul optimis Pyongyang akan berunding dengan Washington pada 2018

Korea Utara mempamerkan peluru berpandu balistik tenteranya di satu perbarisan. (Gambar: AFP/STR)

Diterbitkan : 27 Dec 2017 12:38AM Dikemas Kini : 27 Dec 2017 12:42AM

SEOUL: Korea Selatan hari ini (26 Dis) bersikap optimistik dan meramalkan bahawa Korea Utara akan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat pada tahun depan.

Ini meskipun ia sedang menubuhkan pasukan tentera untuk berdepan dengan ancaman senjata nuklear dari Korea Utara.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengenakan sekatan baru yang lebih ketat ke atas Korea Utara pada Jumaat lalu (22 Dis) menyusuli ujian peluru berpandu balistik antara benuanya. Itu adalah langkah yang disifatkan oleh Korea Utara sebagai sekatan ekonomi dan perisytiharan perang.

"Korea Utara akan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat sementara ia masih meneruskan usahanya untuk diiktiraf sebagai negara de facto yang memiliki senjata nuklear," menurut Kementerian Penyatuan Korea Selatan dalam satu laporan, tanpa memberikan sebarang sebab bagi rumusannya itu.

Kementerian Pertahanan negara itu pula menyatakan ia akan mengerahkan empat unit untuk beroperasi di bawah pegawai baru yang menyelia dasar Korea Utara. Ia bertujuan untuk "mencegah dan memberi respons terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara."

Ketegangan kian memuncak berhubung program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, yang dilakukan sebagai langkah mencabar ketetapan-ketetapan Majlis Keselamatan PBB, dengan retorik agresif dari Pyongyang dan Rumah Putih.

Diplomat-diplomat Amerika Syarikat dengan jelas menyatakan ia sedang mencari huraian diplomatik namun Presiden Donald Trump mengejek runding yang mahu diadakan sebagai tidak berguna dan berkata Pyongyang mesti komited melepaskan senjata nuklearnya sebelum sebarang rundingan boleh dimulakan.

Satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi KCNA menyatakan Amerika Syarikat begitu takut dengan senjata nuklearnya dan "semakin bersungguh-sungguh dalam langkah mengenakan sekatan ketat dan tekanan terhadap negara kami".

China, satu-satunya sekutu Korea Utara, dan Rusia kedua-duanya menyokong sekatan terbaru PBB, yang mahu meletakkan had pada akses Korea Utara kepada petrol dan minyak mentah serta pendapatan yang diraih daripada pekerja di luar negara. Ini sedang seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar China, Hua Chunying, semalam (25 Dis) menggesa agar semua negara meleraikan ketegangan.

Hari ini (26 Dis), Beijing mengeluarkan data kastam yang menunjukkan bahawa China tidak mengeksport produk-produk tanpa minyak ke Korea Utara pada bulan November, mematuhi malah melebihi sekatan PBB.

China, yang merupakan sumber utama minyak bagi Korea Utara, tidak mengeksport sebarang gas, bahan bakar jet, disel atau bahan bakar ke negara jirannya pada bulan lalu, menurut data Pentadbiran Agung Kastam.

China juga tidak mengimport biji besi, arang atau plumbum dari Korea Utara pada bulan November.

Dalam ramalannya bagi 2018, Kementerian Penyatuan Korea Selatan menyatakan ia percaya Korea Utara akan mencari cara untuk mengurangkan kesan sekatan tersebut.

"Langkah-langkah balas akan dilakukan untuk menangani kesan-kesannya, termasuk mengurangkan jumlah perdagangan dan aliran masuk mata wang asing, pengurangan bekalan dan penghasilan dalam setiap bahagian ekonomi," menurut laporan itu.

Sekatan terbaru itu dibuat menyusuli ujian yang dijalankan pada 29 November dan disifatkan oleh Korea Utara sebagai peluru berpandu balistik antara benua yang meletakkan tanah besar Amerika Syarikat dalam lingkungan sasaran senjata nuklearnya.

Akhbar Joongang Ilbo Daily, memetik pegawai pemerintah Korea Utara yang tidak didedahkan namanya, hari ini melaporkan bahawa Korea Utara mungkin sedang bersiap sedia untuk melancarkan satelit ke ruang udara.

Menurut pakar, pelancaran sedemikian mungkin bertujuan membangunkan lagi teknologi peluru berpandu balistik Korea Utara. Oleh itu ia akan dihalang di bawah ketetapan PBB.

Akhbar Rodong Sinmun Korea Utara semalam melaporkan "pembangunan aman di ruang angkasa adalah hak yang sah bagi sesebuah negara berdaulat".

Korea Utara sering mengancam untuk memusnahkan Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun dan menyatakan senjata-senjatanya perlu untuk membalas serangan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat pula menempatkan 28,500 tentera di Korea Selatan dan sering menjalankan latihan tentera di sana. Ini dilihat oleh Korea Utara sebagai persediaan untuk menceroboh negaranya.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan