Skip to main content

Dunia

Seorang meninggal dunia, 8 masuk hospital akibat cuaca ekstrem semasa program UiTM

Seorang peserta meninggal dunia manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Anggaran Waktu Membaca:
Seorang meninggal dunia, 8 masuk hospital akibat cuaca ekstrem semasa program UiTM

Seorang peserta meninggal dunia manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. (Gambar: Facebook/Public Health Malaysia)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 03:58PM Dikemas Kini : 06 Sep 2026 04:45PM
  • Seorang peserta lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia dan lapan lagi dirawat selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai KKEC 2026 di UiTM Pahang, Kampus Jengka.
  • Kejadian berlaku pada 5 September, dipercayai akibat cuaca ekstrem, walaupun semua peserta telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan berkala.
  • UiTM menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa dan menggerakkan bantuan komprehensif untuk pengurusan jenazah serta sokongan emosi.
  • Pihak penganjur membatalkan semua aktiviti luar KKEC susulan insiden dan menegaskan komitmen terhadap kebajikan serta keselamatan peserta.
Dijana oleh AI
KUANTAN: Seorang peserta meninggal dunia manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6.59 petang Sabtu (5 Sep).

“Mangsa yang meninggal dunia merupakan pelajar lelaki berusia 21 tahun dan butiran lanjut akan diberi selepas laporan bedah siasat diterima,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Difahamkan, kesemua peserta terbabit tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, dipercayai akibat cuaca ekstrem.

UiTM Cawangan Pahang dalam kenyataannya menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga peserta yang meninggal dunia, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

Menurut UiTM, pihak universiti sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan keluarga Almarhum.

“Pengurusan universiti telah menggerakkan bantuan komprehensif bagi memastikan segala urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan dan keperluan sokongan emosi kepada keluarga mangsa berjalan dengan lancar serta dipermudah tanpa sebarang kesulitan,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian tersebut, pihak penganjur membatalkan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 296026 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad (6 Sep).

Program tahunan yang menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM di Malaysia itu berlangsung dari 2 hingga 8 September di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Menurut UiTM, program tersebut dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.

Semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan kesihatan secara berkala sebelum setiap acara.

Beberapa peserta sebelum ini turut diminta menarik diri selepas didapati tidak melepasi saringan akhir.

UiTM memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan terus memantau keadaan bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat terpelihara.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita