Seorang maut, lebih 100 selamat selepas kapal penumpang Indonesia putus hubungan
Pejabat Mencari dan Menyelamat di bandar Banjarmasin, Kalimantan Selatan yang terletak di Pulau Borneo menyatakan bahawa ia menerima laporan dua jam selepas hubungan dengan kapal Virgo Transport 8 terputus pada sekitar pukul 2.00 pagi Ahad, 13 September 2026. (Gambar: Facebook/Kantorsar Banjarmasin)
"Kami telah melakukan usaha untuk mencari mangsa. Ada penumpang yang berjaya dipindahkan oleh pasukan penyelamat. Kami sedia memaklumkan bahawa jumlah penumpang yang berjaya dipindahkan ialah 103 orang," kata ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana.
Beliau memberitahu para wartawan di bandar pelabuhan Banjarmasin bahawa mangsa yang meninggal dunia itu merupakan antara penumpang yang diselamatkan.
Pihak berkuasa menyatakan kapal penumpang dan kargo Virgo Transport 8 itu berlepas dari Surabaya, Jawa Timur pada Sabtu dengan 243 penumpang dan anak kapal, sebelum berdepan cuaca buruk dan putus hubungan dengan syarikat perkapalannya pada pagi Ahad.
“Kami menerima laporan mengenai putusnya hubungan dengan kapal Virgo Transport 8 dan segera mengerahkan anggota serta KN SAR Laksmana 241 ke lokasi terakhir yang diketahui,” kata Encik Sudayana.
“Memandangkan jumlah penumpang dan kru yang agak ramai di atas kapal, kami mengoptimumkan penyelarasan dengan semua pihak berkaitan untuk mempercepat proses pencarian dan memastikan keselamatan semua penumpang dan kru.”
Operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan pada pagi Ahad melibatkan tentera laut, polis dan syarikat perkapalan Virgo.
Kedudukan terakhir kapal itu dikesan di perairan Laut Jawa, sekitar 150 kilometer dari destinasinya di Banjarmasin, menurut Encik Sudayana.
Kemalangan di laut kerap berlaku di Indonesia - sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan sangat bergantung pada penggunaan bot bagi pengangkutan harian serta pelancongan.
Piawaian keselamatan yang longgar dan cuaca yang tidak menentu merupakan antara punca utama kejadian sedemikian.
Pada Isnin (7 Sep), sebuah bot laju yang membawa lapan orang, termasuk lima wartawan yang bekerja untuk agensi berita tempatan dan antarabangsa, hilang berhampiran gunung berapi Gunung Anak Krakatau di wilayah Banten dan operasi mencari masih dijalankan.
Para wartawan itu dihantar untuk membuat liputan mengenai letusan gunung berapi tersebut yang melumpuhkan lapangan terbang utama Jakarta dan beberapa lapangan terbang lain.
Bulan lalu, kebakaran di atas sebuah feri mengorbankan seorang penumpang dan menyebabkan lima lagi hilang, manakala 211 orang diselamatkan di Selat Lombok, berhampiran pulau Bali, Indonesia.
Feri itu dalam perjalanan dari Bali ke Lombok apabila berdepan masalah pada awal pagi 12 Ogos.
Pada Julai, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang karam ketika belayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Sulawesi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.