Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat terkena serpihan bunga api di Port Dickson
Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat meletak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson dekat sini semalam (31 Dis).

(Gambar hiasan: Astro AWANI)
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka manakala rakannya, 39, dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.
“Kedua-dua mangsa merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan memasang bunga api untuk pertunjukan sempena malam Ambang Tahun Baru 2024 di hotel berkenaan.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini (1 Jan).
Sehubungan itu, Supt Aidi Sham menyeru orang awam supaya tidak menularkan isu berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.
Terdahulu, tular di laman X sejak pagi tadi sebuah rakaman video berdurasi 1.04 minit dan gambar memaparkan kejadian letupan beberapa das bunga api di hotel berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.