Skip to main content

Dunia

Seorang lelaki diberkas polis Britain susulan kebakaran di rumah PM Starmer

Polis Britain pada Selasa (13 Mei) mengatakan bahawa mereka telah memberkas seorang lelaki berusia 21 tahun kerana disyaki terkait dengan perbuatan membakar dengan sengaja, selepas pegawai-pegawai anti-pengganasan melancarkan siasatan berhubung tiga kebakaran, termasuk satu kejadian yang melibatkan hartanah milik Perdana Menteri Keir Starmer.

Anggaran Waktu Membaca:
Seorang lelaki diberkas polis Britain susulan kebakaran di rumah PM Starmer

Seorang individu menghampiri pegawai polis di sebuah jalan yang ditutup, susulan kebakaran yang berlaku di rumah Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, pada awal pagi 12 Mei 2025, di utara London, Britain. (Gambar: REUTERS/Paul Sandle)

LONDON: Polis Britain pada Selasa (13 Mei) mengatakan bahawa mereka telah memberkas seorang lelaki berusia 21 tahun kerana disyaki terkait dengan perbuatan membakar dengan sengaja, selepas pegawai-pegawai anti-pengganasan melancarkan siasatan berhubung tiga kebakaran, termasuk satu kejadian yang melibatkan hartanah milik Perdana Menteri Keir Starmer.

Polis menerima panggilan mengenai kebakaran pada awal pagi Isnin melibatkan hartanah di Kentish Town, Camden, utara London, kawasan yang diwakili Encik Starmer di parlimen.

Lelaki tersebut diberkas pada awal pagi Selasa berkaitan kebakaran tersebut serta dua kejadian lain, menurut polis.

Mereka kini sedang menyiasat sama ada kebakaran yang melibatkan sebuah kenderaan di daerah yang sama pada 8 Mei dan kebakaran di pintu sebuah hartanah di kawasan berdekatan pada 11 Mei ada kaitan dengan kejadian pada hari Isnin.

Lelaki itu, yang diberkas kerana disyaki mencetuskan kebakaran dengan tujuan membahayakan nyawa, kini dalam tahanan, kata polis.

Para pegawai dari Pusat Membanteras Pengganasan Polis Metropolitan London mengetuai siasatan berhubung kes tersebut memandangkan hartanah yang terbabit melibatkan seorang tokoh awam berprofil tinggi, menurut kenyataan polis.

Encik Starmer pernah menetap bersama keluarganya di rumah tersebut, yang terletak di sepanjang jalan yang sunyi, sebelum berpindah ke Nombor 10 Downing Street apabila beliau dilantik sebagai perdana menteri pada Julai lalu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita