Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Senyuman, pelukan iringi pertemuan semula doktor tentera dengan 'Wild Boars'

Menurut Loharachun, remaja-remaja itu tidak pernah putus harapan walaupun banyak halangan dan kesukaran yang dihadapi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Senyuman, pelukan iringi pertemuan semula doktor tentera dengan 'Wild Boars'

Para pegawai penyelamat di gua Tham Luang pada Jul 2018 (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 17 Jul 2018 01:07PM Dikemas Kini : 17 Jul 2018 01:19PM

BANGKOK: Senyuman dan pelukan hangat mengiringi pertemuan semula penuh emosi antara seorang doktor tentera Thailand dan 13 anggota pasukan bola sepak ‘Mu Pa’ (Wild Boars) yang dijaganya sementara menunggu operasi menyelamat di dalam Gua Tham Luang yang dibanjiri air di Chiang Rai.

Kira-kira seminggu sejak remaja-remaja itu ditemui oleh penyelam British sehingga misi menyelamat penuh berisiko dilaksanakan, Leftenan Kolonel Pak Loharachun ialah doktor yang diamanahkan oleh pihak berkuasa untuk tinggal bersama-sama pasukan itu di dalam gua, untuk menjaga keperluan perubatan mereka dan menaikkan semangat remaja berkenaan.

Sepanjang bersama-sama mereka di dalam gua, beliau sangat mengagumi remaja-remaja itu, dengan moral dan sikap optimis mereka ketika berdepan detik paling gelap dalam kehidupan muda mereka.

“Apa yang paling saya kagum dengan ‘Mu Pa’ ialah kegembiraan, kesucian hati dan sikap optimis mereka. Mereka mempunyai moral yang tinggi walaupun menghadapi saat paling getir,” catat beliau dalam akaun Facebooknya hari ini selepas melawat remaja dan jurulatih mereka di Hospital Prachanukroh di Chiang Rai. 

Menurut Loharachun, remaja-remaja itu tidak pernah putus harapan walaupun banyak halangan dan kesukaran yang dihadapi mereka.

REMAJA-REMAJA GALI LUBANG UNTUK KELUAR

“Setiap hari remaja-remaja itu akan menggali lubang untuk mencari jalan keluar dari gua itu dengan mengeluarkan batu. Mereka berjaya membuat lubang sedalam lima meter walaupun tidak menjamah sebarang makanan,” katanya dan menambah pasukan Wild Boars juga berdisiplin dengan mengutip semula sampah selepas selesai makan (selepas penyelamat berjaya menemui mereka).

Loharachun merupakan seorang daripada empat penyelam terakhir yang selamat keluar dari gua itu dan terus dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas itu.

Doktor itu yang merupakan pakar selaman hasil latihan yang dijalani di bawah tentera Thailand termasuk oleh Unit SEAL, Tentera Laut Diraja Thailand berkata remaja itu bertuah kerana mempunyai Ekkapol Chantawong atau ‘Jurulatih Ekk’ di samping mereka.   

“Ekk seorang yang baik hati, beliau benar-benar berkorban. Secara diam-diam saya memerhatikan beliau dari hari pertama apabila Ekk akan memastikan anak buahnya makan terlebih dahulu. Beliau juga memberikan makanannya kepada mereka. Saya yakin beliau menjaga remaja itu dengan baik,” katanya. 

Ini kerana keadaan kesihatan dan mental remaja itu adalah lebih baik daripada jangkaan beliau.

YAKIN REMAJA SEDAR PENGORBANAN PENYELAMAT

Jurulatih berusia 25 tahun itu dijulang sebagai wira oleh rakyat Thailand apabila berjaya memastikan keselamatan anak buahnya sepanjang terperangkap dalam gua tersebut. 

Loharachun yang akan kembali ke Nakhon Ratchasima, mengetuai Batalion Perubatan Ke-3 tentera Thailand, berkata beliau yakin kesemua anggota Wild Boars tahu pengorbanan setiap orang dalam memastikan mereka terus selamat ketika berada dalam Gua Tham Luang.

“Saya yakin apabila mereka dewasa nanti mereka akan menjadi rakyat yang cemerlang dan berbakti kepada Thailand pada masa akan datang,” kata doktor itu.

Pasukan Wild Boars terperangkap selama 17 hari dalam Gua Tham Luang yang dibanjiri air, sebelum diselamatkan oleh penyelam berbilang negara dalam operasi menyelamat berisiko yang dianggap oleh ramai orang sebagai ‘misi mustahil’. 

Sumber : Bernama/KN/kn

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa