Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Senjata digunakan dalam serangan Saudi 'datang dari Iran', kata perikatan Riyadh

Senjata yang digunakan untuk menyerang kemudahan minyak Arab Saudi adalah buatan Iran, menurut perikatan yang diketuai Riyadh pada Isnin (16 Sep). Ini sekali gus meningkatkan lagi kebimbangan mengenai konflik serantau selepas Amerika Syarikat membayangkan tindak balas tentera terhadap serangan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Senjata digunakan dalam serangan Saudi 'datang dari Iran', kata perikatan Riyadh

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Sep 2019 12:22PM Dikemas Kini : 17 Sep 2019 12:29PM

RIYADH: Senjata yang digunakan untuk menyerang kemudahan minyak Arab Saudi adalah buatan Iran, menurut perikatan yang diketuai Riyadh pada Isnin (16 Sep). Ini sekali gus meningkatkan lagi kebimbangan mengenai konflik serantau selepas Amerika Syarikat membayangkan tindak balas tentera terhadap serangan itu.

Serangan hujung minggu lalu ke atas Abqaiq - loji pemprosesan minyak terbesar di dunia - dan medan minyak Khurais di timur Arab Saudi menyebabkan harga minyak melonjak pada Isnin.

Pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran mendakwa bertanggungjawab atas operasi itu namun Washington sebaliknya menuduh Iran, dengan Presiden Donald Trump mengatakan negaranya sudah "bersiap siaga" untuk bertindak balas.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Mark Esper berkata negaranya sedang bersiap sedia untuk bertindak balas.

"Tentera Amerika Syarikat, dengan pasukan antara agensi kami, sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk menangani serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan mempertahankan aturan berasaskan undang-undang antarabangsa yang sedang dicabar Iran," katanya di Twitter.

Prasarana tenaga di Arab Saudi pernah diserang sebelum ini, namun serangan terbaru ini lebih besar, dengan separuh pengeluaran negara peneraju OPEC itu terganggu - iaitu sekitar enam peratus bekalan minyak sedunia.

Perikatan yang diterajui Arab Saudi, yang dibelenggu peperangan selama lima tahun di negara jiran Yaman, mengukuhkan penilaian bahawa pemberontak Houthi bukan dalangnya sambil menuding jari ke Iran kerana menyediakan senjata.

"Semuanya menunjukkan senjata-senjata yang digunakan dalam kedua-dua serangan itu datang dari Iran," bukan Yaman, kata jurucakap perikatan Turki al-Maliki kepada para wartawan di Riyadh, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

'WARGA YAMAN TERPAKSA PERTAHANKAN DIRI'

Para pemberontak Houthi mendakwa melancarkan 10 dron ke arah kemudahan Arab Saudi itu, dan Presiden Iran Hassan Rouhani menyifatkan serangan itu sebagai tindakan mempertahankan diri.

"Rakyat Yaman terpaksa bertindak balas, mereka hanya mempertahankan diri," kata beliau dalam satu sidang media di Ankara bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Namun New York Times melaporkan bahawa para pegawai Amerika Syarikat mempunyai gambar-gambar satelit menunjukkan bahawa serangan tersebut, yang mungkin melibatkan dron dan peluru berpandu, datang dari arah utara atau barat laut.

Ini menunjukkan ia dilancarkan dari utara Teluk Parsi, Iran atau negara jiran Iraq, di mana Iran menyokong beberapa kumpulan bersenjata.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan