Senator AS John McCain meninggal dunia pada usia 81 tahun
John McCain, seorang wira zaman perang dan individu tidak asing dalam politik Amerika Syarikat (AS), terkenal menjadi penghubung sebuah negara yang semakin berpecah belah, meninggal dunia pada Sabtu (26 Ogos).
WASHINGTON: Encik John McCain, seorang wira zaman perang dan individu tidak asing dalam politik Amerika Syarikat (AS), terkenal menjadi penghubung sebuah negara yang semakin berpecah belah, meninggal dunia pada Sabtu (26 Ogos) selepas bergelut melawan barah otak. Mendiang berusia 81 tahun.
Pemergian senator itu menandakan tamatnya kerjaya politik selama 35 tahun yang membawa Republikan dekat kepada pentadbiran Rumah Putih ketika beliau dinamakan sebagai calon presiden partinya pada 2008.
“Ia perjalanan berliku," kata Encik McCain yang diseksa sepanjang lima tahun menjadi tawanan perang di Vietnam, dalam satu biografi yang diterbitkan awal tahun ini.
"Saya pernah melalui zaman keghairahan, melihat perkara menakjubkan, berjuang dalam peperangan dan membantu perdamaian. Saya membuat ruang kecil untuk diri saya dalam kisah Amerika dan sejarah di zaman saya.”
Encik McCain, yang menerima rawatan di negeri kelahirannya, Arizona, dikelilingi isteri, Cik Cindy dan keluarganya ketika menghadapi saat akhir kematian.
“Beliau umpama api marak yang menyala terang dan kami hidup dikelilingi cahaya dan kehangatannya,” kata Cik Meghan McCain, seorang daripada tujuh anak mendiang, tiga daripadanya adalah daripada perkahwinan terdahulu.
Berhampiran jalan masuk ke ladangnya di kawasan luar bandar Sedona, Arizona, ada papan tanda bertulis “Sen McCain, terima kasih atas khidmat anda.”
Polis pengiring menemani kenderaan membawa jenazahnya ketika cahaya matahari terbenam terik menyinari kawasan perkampungan amat disayangi Encik McCain dengan penduduk tempatan datang membawa kalungan bunga untuk memperingati mendiang tokoh politik itu.
Rakan dan teman seperjuangan tidak henti-henti datang mengunjunginya di kediamannya di Arizona sejak beberapa bulan lalu selepas beliau disahkan menghidap barah pada Julai 2017.
Presiden AS Donald Trump, yang satu ketika dulu memperlekehkan rekod perang Encik McCain berkata, beliau menghantar ucapan "simpati dan penghormatan mendalam" kepada mendiang.
Encik McCain menjadi pengkritik lantang Republikan terhadap Encik Trump, menuduh beliau ‘naif’, ‘ego’ dan bersimpati dengan golongan autokrat.
Senator itu membuat satu keputusan undian yang menghapuskan cubaan Republikan memansuhkan pembaharuan penjagaan kesihatan mantan Presiden Barack Obama dan Encik Trump tidak pernah memaafkannya.
Encik McCain yang lantang bersuara tidak bersefahaman dengan ramai ahli politik termasuk daripada partinya sendiri, namun penyokong setia Republikan itu diiktiraf secara meluas kerana integriti beliau yang mendalam. Ucapan takziah datang bertalu-talu daripada ahli politik tertinggi di AS.
“Kita semua pernah berhutang dengannya. Kita berkongsi, walaupun dengan segala perbezaan, sesuatu yang lebih bermakna, cita-cita generasi demi generasi rakyat Amerika dan pendatang yang berjuang dan berkorban,” kata Encik Obama, Presiden Demokrat yang mengalahkan Encik McCain bagi jawatan Presiden pada 2008.
Mantan Presiden Demokrat Bill Clinton menganggap Encik McCain "kerap meletakkan perbezaan ke tepi", sementara mantan Naib Presiden Al Gore berkata, beliau sentiasa mengagumi bagaimana senator itu berusaha mencari kesepakatan walaupun sukar.
“John McCain ialah seorang lelaki dengan keyakinan tinggi dan seorang patriot dengan semangat tertinggi,” kata mantan Presiden George W Bush, yang gagal dikalahkan Encik McCain untuk pencalonan 2000 namun berjaya pada 2008.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.