Skip to main content

Dunia

Senator Amerika jangkakan undian Senat untuk mengekang keupayaan Trump berhubung Greenland

Anggaran Waktu Membaca:
Senator Amerika jangkakan undian Senat untuk mengekang keupayaan Trump berhubung Greenland
Presiden Donald Trump berucap ketika bersarapan bersama anggota Dewan Senat dan Republican di Rumah Putih pada 5 November 2025 di Washington. (Gambar fail: AP/Evan Vucci)
Diterbitkan : 08 Jan 2026 11:17AM Dikemas Kini : 08 Jan 2026 11:19AM
WASHINGTON: Senator Democrat dan Republican menyatakan pada Rabu (7 Jan) bahawa mereka menjangkakan Dewan Senat akan mengundi mengenai perundangan yang bertujuan untuk mengekang keupayaan Presiden Donald Trump untuk cuba merampas Greenland dari Denmark, iaitu sekutu lama Amerika.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Encik Trump berulang kali berkata beliau mahu mengambil alih kawalan terhadap pulau Artik yang kaya dengan mineral itu.

Pada Sabtu (3 Jan), Amerika Syarikat mencetuskan kebimbangan antarabangsa apabila ia menghantar pasukan khas untuk menangkap Presiden Venezuela Nicolas Maduro, menimbulkan persoalan sama ada mereka merancang tindakan selanjutnya yang serupa.

"Anda akan melihat resolusi kuasa perang diperkenalkan mengenai Cuba, Mexico, Colombia, Nigeria, Greenland," kata Senator Tim Kaine, seorang senator Demokrat Virginia yang memimpin beberapa resolusi yang bertujuan untuk menyemak penggunaan kuasa tentera oleh Presiden Amerika Syarikat tanpa kelulusan Kongres.

"Saya hanya tidak tahu siapa yang akan memimpin semuanya, kerana saya mungkin akan menjadi sekurang-kurangnya penaja bersama dan mungkin memimpin sebilangan daripadanya," kata Encik Kaine kepada wartawan pada sidang media menjelang undian Senat yang dijangka berlangsung pada Khamis, yang bakal menentukan sama ada untuk menghentikan tindakan ketenteraan selanjutnya di Venezuela tanpa kelulusan ahli parlimen.

Senator Republican Rand Paul dari Kentucky, yang merupakan penaja bersama resolusi Venezuela, berkata beliau akan "bersikap terbuka" sama ada untuk menyokong sebarang resolusi seumpamanya.

Encik Paul menambah beliau tidak mendengar sebarang anggota Republican lain menyatakan sokongan terhadap penggunaan kuasa tentera untuk mengambil alih Greenland.

Beliau menyifatkan ancaman sedemikian sebagai tidak produktif jika pentadbiran Trump mahu membeli pulau Artik yang kaya dengan mineral.

"Jika saya mahu membeli Greenland, saya akan mengadakan acara-acara PR (perhubungan awam) di sana, saya akan melimpahkan mereka dengan hadiah-hadiah, saya akan berbincang dengan penduduk Greenland tentang bagaimana mereka boleh menjadi sebahagian daripada Amerika dan mengekalkan kedaulatan mereka. Bahawa akan ada manfaat besar berada di bawah payung pertahanan kami, dan juga manfaat ekonomi," kata Encik Paul.

Sebelum ini, Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio memberitahu wartawan di Senat pada Rabu bahawa beliau akan bertemu dengan para pemimpin Denmark minggu depan untuk membincangkan Greenland, tetapi memberi isyarat tiada pengunduran daripada matlamat Presiden Trump untuk mengambil alih pulau tersebut.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita