Skip to main content

Dunia

Senat tolak ancaman tindakan ketenteraan Trump terhadap Venezuela dengan usul hadkan kuasa perang

Anggaran Waktu Membaca:
Senat tolak ancaman tindakan ketenteraan Trump terhadap Venezuela dengan usul hadkan kuasa perang
Senator Tim Kaine, D-Va., bercakap kepada wartawan mengenai Venezuela pada 7 Jan 2026. (Gambar: AP/Mariam Zuhaib)
Diterbitkan : 09 Jan 2026 07:14AM Dikemas Kini : 09 Jan 2026 07:16AM
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat pada Khamis (8 Jan) mengusulkan langkah untuk meluluskan ketetapan yang akan mengehadkan kuasa Presiden Donald Trump untuk melancarkan serangan lanjut ke atas Venezuela. Ini menunjukkan rasa kurang senang terhadap cita-cita beliau yang semakin meluas di hemisfera Barat.

Para anggota Democrat dan lima anggota Republican mengundi 52-47 untuk menyokong ketetapan terhadap kuasa perang itu, sekali gus memastikan undian terakhir akan dijalankan minggu depan. Sekalipun demikian, ketetapan tersebut sukar untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang kerana ia memerlukan tandatangan Encik Trump sendiri sekiranya ia lulus di Dewan Perwakilan yang dikuasai oleh Republican. Namun, ini adalah satu isyarat penting yang menunjukkan kegelisahan sesetengah anggota Republican selepas tentera Amerika menangkap pemimpin Venezuela, Nicolás Maduro, dalam satu serbuan mengejut pada waktu malam.

Pentadbiran Presiden Trump kini sedang berusaha untuk mengawal sumber minyak dan pemerintah Venezuela, tetapi ketetapan itu akan memerlukan kelulusan Kongres bagi sebarang serangan lanjut ke atas negara Amerika Selatan itu.

Encik Trump bertindak balas terhadap undian tersebut melalui catatannya di media sosial yang menyatakan bahawa ahli-ahli politik "tidak sepatutnya dipilih lagi" dan menuduh undian itu akan "menjejas Pertahanan dan Keselamatan Negara Amerika."

RESPONS AHLI POLITIK TERHADAP OPERASI VENEZUELA

Para pemimpin Republican menyatakan mereka tidak diberitahu lebih awal mengenai serbuan pada pagi Sabtu lalu untuk menangkap Encik Maduro dan isterinya, Cilia Flores.

Pentadbiran Presiden Trump menggunakan pelbagai alasan undang-undang untuk melancarkan operasi di Amerika Tengah dan Amerika Selatan, bermula dengan memusnahkan bot-bot yang dipercayai membawa dadah sehinggalah menangkap Encik Maduro atas alasan penguatkuasaan undang-undang untuk membicarakan beliau di Amerika Syarikat.

Senator Chuck Schumer dari Democrat pula mempersoalkan mengapa Encik Trump, yang berkempen atas slogan "Utamakan Amerika" (America First), kini menghabiskan masa dan tenaga untuk operasi di luar negara.

AKTA KUASA PERANG YANG JARANG DIKUATKUASAKAN

Sekali lagi, Kongres tidak dimaklumkan tentang operasi ketenteraan di Venezuela. Di bawah Perlembagaan Amerika Syarikat, Kongres mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan perang, manakala Presiden adalah ketua komander. Sekalipun demikian, sejak Perang Dunia Kedua, presiden-presiden Amerika Syarikat sering bertindak sendiri tanpa pengisytiharan rasmi daripada Kongres.

Akta Kuasa Perang yang diluluskan selepas Perang Vietnam mewajibkan Presiden memaklumkan Kongres dalam tempoh 48 jam selepas mengerahkan tentera dan menamatkan tindakan ketenteraan dalam masa 60 hingga 90 hari jika tiada kebenaran - tetapi had itu sering kali dilanggar oleh presiden daripada kedua-dua parti.

ISU GREENLAND CABAR HAD KUASA

Kebimbangan kini beralih kepada Greenland. Rumah Putih menyatakan bahawa "tindakan ketenteraan sentiasa menjadi pilihan" jika Amerika Syarikat mahu mengambil alih pulau terbesar di dunia itu.

Para anggota Republican melihat nilai strategik Greenland, tetapi kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan penggunaan kekerasan tentera untuk merampasnya. Denmark, pemilik Greenland, menegaskan bahawa "Greenland bukan untuk dijual."

Beberapa anggota Democrat kini sedang melakar ketetapan untuk menghalang Encik Trump daripada menyerang Greenland. Senator Ruben Gallego berkata, "Kita mesti menghalang beliau sebelum beliau menyerang negara lain sesuka hatinya. Cukuplah dengan perang yang tidak berkesudahan."

Memandangkan Greenland adalah milik sekutu NATO iaitu Denmark, reaksi para anggota Republican terhadap isu itu adalah lebih berhati-hati berbanding keadaan di Venezuela. Denmark dan wakil Greenland menegaskan hak mereka untuk tidak menjual pulau tersebut kepada Amerika Syarikat.
Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita