Skip to main content

Dunia

Senat Amerika lulus rang undang-undang tamatkan penutupan operasi pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
Senat Amerika lulus rang undang-undang tamatkan penutupan operasi pemerintah
Bangunan Capitol Amerika Syarikat di Washington DC, Amerika Syarikat, pada 10 November 2025. (Gambar fail: REUTERS/Evelyn Hockstein)
WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat pada Isnin (10 Nov) meluluskan rang undang-undang bagi menamatkan penutupan operasi pemerintah yang terpanjang dalam sejarah negara itu. Ini sekali gus menamatkan kebuntuan selama beberapa minggu yang menjejas bantuan makanan bagi berjuta-juta rakyat, menyebabkan ratusan ribu pekerja persekutuan tidak dibayar gaji dan mengganggu operasi trafik udara.

Usul itu diluluskan dengan 60 undi menyokong, dan 40 undi menentang. Ia mendapat sokongan hampir kesemua ahli Republican dalam dewan Senat serta lapan ahli Democrat, yang sebelum ini gagal mengikat pembiayaan pemerintah dengan subsidi kesihatan yang dijangka luput pada akhir tahun ini. Subsidi kesihatan itu, yang memanfaatkan 24 juta rakyat Amerika, akan dibentangkan bagi pengundian pada bulan depan. Namun, tiada jaminan ia akan disambung lagi.

Usul berkenaan akan memulihkan pembiayaan bagi agensi persekutuan yang tamat pada 1 Oktober dan menangguhkan kempen Presiden Donald Trump untuk mengurangkan jumlah tenaga kerja pemerintah persekutuan, sekali gus mengelak sebarang pemberhentian pekerja sehingga 30 Januari.

Rang tersebut kini akan dibentangkan di Dewan Perwakilan yang dikawal oleh Parti Republican, di mana Speaker Mike Johnson berkata beliau ingin meluluskannya seawal Rabu dan menyerahkannya kepada Encik Trump untuk ditandatangani.

Encik Trump menyifatkan langkah membuka semula operasi pemerintah itu sebagai “sangat baik”.

Rang tersebut akan melanjutkan pembiayaan kerajaan sehingga 30 Januari, sekali gus menyebabkan kerajaan persekutuan meningkatkan perbelanjaannya sebanyak kira-kira AS$1.8 trilion (S$2.35 trilion) setahun dan menambah beban hutangnya yang kini berjumlah AS$38 trilion (S$49.51 trilion).

Rang itu diluluskan seminggu selepas Parti Democrat menang dalam pilihan raya berprofil tinggi di New Jersey dan Virginia, serta pemilihan seorang ahli Democrat sosialis sebagai Datuk Bandar baharu New York City. Namun, ia menimbulkan kemarahan dalam kalangan ramai ahli Democrat yang menekankan ia tidak menyertakan jaminan Dewan Senat mahupun Dewan Perwakilan, yang dikawal Republican, bahawa ia akan melanjutkan subsidi insurans kesihatan tersebut.

“Kami harap dapat melakukan lebih banyak lagi,” kata Senator Dick Durbin dari Illinois, timbalan ketua Democrat di Senat.

“Penutupan operasi pemerintah merupakan peluang untuk menggubal dasar yang lebih baik. Namun, ia tidak berhasil.”

Tinjauan Reuters/Ipsos pada akhir Oktober mendapati 50 peratus rakyat Amerika menyalahkan Parti Republican atas penutupan operasi pemerintah itu, manakala 43 peratus menyalahkan Parti Democrat.

Saham-saham Amerika Syarikat meningkat pada Isnin, didorong berita mengenai kemajuan dalam rundingan untuk membuka semula operasi pemerintah.

Encik Trump sebelum ini membatalkan perbelanjaan bernilai berbilion dolar dan mengurangkan bilangan pekerja pemerintah persekutuan melibatkan ratusan ribu tenaga kerja, satu tindakan yang mencabuli kuasa perlembagaan Kongres berkaitan urusan fiskal. Tindakan tersebut melanggar undang-undang perbelanjaan yang pernah diluluskan oleh Kongres, dan beberapa ahli Democrat mempersoalkan mengapa mereka perlu menyokong pakej perbelanjaan seumpama itu pada masa hadapan.

Usul berkenaan juga tidak merangkumi sebarang peruntukan khusus untuk menghalang Encik Trump daripada melaksanakan pemotongan perbelanjaan tambahan.

Namun begitu, perjanjian itu akan membiayai program subsidi makanan SNAP hingga 30 September tahun depan, sekali gus mengelakkan sebarang gangguan sekiranya Kongres menutup semula operasi pemerintah dalam tempoh tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita