Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Semua tapak perkhemahan Pulau Pinang diarah tutup sementara

Anggaran Waktu Membaca:
Semua tapak perkhemahan Pulau Pinang diarah tutup sementara

(Gambar: Penang Sana Sini/Facebook)

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengarahkan semua operasi tapak perkhemahan di negeri itu ditutup sementara bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini menyusuli insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali di Selangor.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tindakan itu diambil berikutan arahan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

"Kami minta semua pemilik tapak perkhemahan di Pulau Pinang sama ada yang berdaftar atau tidak dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar menutup sementara atas faktor keselamatan dan arahan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Memang banyak di seluruh negara melanggar undang-undang kerana memulakan operasi tanpa kelulusan dalam apa jenis kegiatan termasuk tapak perkhemahan juga namun kategori ini (tapak perkhemahan) tidak dikesan banyak berlaku di Pulau Pinang, ada satu dua sahaja jadi mereka juga perlu patuh untuk menutup operasi,'' katanya kepada pemberita pada Sabtu malam (17 Dis).

Sementara itu, mengulas lanjut, Encik Chow berkata terdapat tapak perkhemahan dikenal pasti berisiko tinggi kerana terletak di kawasan cerun bukit iaitu Suling Hill, di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Taman Bandaraya, di Timur Laut diarahkan ditutup oleh PBT pada Sabtu.

Katanya, selain itu, kerajaan negeri juga mempunyai garis panduan melibatkan pembangunan lereng bukit kerana Pulau Pinang pernah ditimpa bencana tanah runtuh melibatkan kehilangan nyawa.

''Sebarang pembangunan lereng bukit, sama ada membina kediaman atau apa juga pembangunan termasuk tapak perkhemahan tertakluk kepada garis panduan dan syarat-syarat ditetapkan,'' katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kawasan pelancongan di kawasan bukit seperti di Bukit Bendera, Encik Chow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera (PBBPP) berkata pemantauan di kawasan tersebut sentiasa dijalankan oleh pihak PBBPP.

"Kawasan Bukit Bendera memang ada berlaku tanah runtuh, boleh dikatakan berlaku beberapa kejadian setiap tahun dan pemantauan di jalankan oleh PBBPP, jika berlaku tanah runtuh ia akan dibaiki oleh mereka (PBBPP) kita juga ada satu tapak perkhemahan di banglo yang dimiliki kerajaan negeri di Bukit Bendera, ia juga diarahkan tutup sementara,'' katanya.

Sebelum ini, Encik Nga mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari berikutan Monsun Timur Laut.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan