Semua tapak perkhemahan di Pahang, Selangor ditutup

Tapak Perkhemahan Sungai Pauh yang terletak di dalam kawasan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands. (Gambar: Pejabat Daerah & Tanah Cameron Highlands)
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi termasuk lereng bukit serta air terjun berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
JPNP menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya, memaklumkan keputusan itu dibuat menyusuli ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) selain mengambil iktibar kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat (16 Dis).
“Penutupan ini melibatkan semua tapak perkhemahan yang diuruskan JPNP dan operator swasta seperti di Taman Eko-Rimba Lubuk Yu, Maran dan Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands.
“Sepanjang musim tengkujuh ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor diarah tutup selama tujuh hari mulai Sabtu (17 Dis).
Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Jumaat malam, arahan berkenaan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Haris Kasim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.
Terdahulu, media melaporkan 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali disahkan meninggal dunia setakat Jumaat malam, manakala 12 lagi mangsa masih belum ditemukan.
Insiden sekitar pukul 2.42 pagi itu, melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan sejak awal pagi semalam, melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.