Skip to main content

Dunia

Semua sekolah di Bintulu, Tatau/Sebauh, Sarawak ditutup hingga 11 Sept akibat jerebu

Sebanyak 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan Tatau/Sebauh di Sarawak ditutup hingga 11 September berikutan keadaan berjerebu.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua sekolah di Bintulu, Tatau/Sebauh, Sarawak ditutup hingga 11 Sept akibat jerebu

Para pengunjung berjalan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak sedang Kuching diselubungi jerebu tebal pada 4 Sep 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 08:22AM
  • JPNS menutup 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di Bintulu serta Tatau/Sebauh dari 7 hingga 11 September 2026 akibat jerebu teruk.
  • Keputusan dibuat selepas bacaan IPU di Bintulu mencecah tahap sangat tidak sihat, melibatkan ribuan pelajar di bawah seliaan PPD terlibat.
  • Secara keseluruhan, 617 sekolah rendah dan 93 sekolah menengah di Sarawak turut ditutup sementara, dengan PdPR dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.
  • Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Serian selepas menerima nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak demi keselamatan orang ramai.
Dijana oleh AI
KUCHING: Sebanyak 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan Tatau/Sebauh di Sarawak ditutup hingga 11 September berikutan keadaan berjerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam satu kenyataan pada Sabtu malam (5 Sep) memaklumkan, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pemantauan berterusan, di samping bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang mencecah tahap sangat tidak sihat pada pukul 8.00 malam pada Sabtu.

“Penutupan sementara 54 sekolah rendah membabitkan 22,476 pelajar dan sembilan sekolah menengah membabitkan 17,268 pelajar di bawah seliaan PPD Bintulu dan Tatau/Sebauh pada 7 hingga 11 Sept 2026,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bintulu mencatat bacaan 206, iaitu sangat tidak sihat.

JPNS memaklumkan, secara keseluruhanan, sebanyak 617 sekolah rendah membabitkan 130,953 pelajar dan 93 sekolah menengah (107,350 pelajar) di bawah seliaan 14 PPD yang terjejas oleh fenomena jerebu rentas sempadan ditutup buat sementara waktu.

Sehubungan dengan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksana sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut JPNS, sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak sekolah diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid-murid serta para guru sepanjang masa.

Institusi pendidikan juga diingatkan agar peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk kepada APIMS bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan bagi menjamin kesihatan para murid serta warga institusi berkenaan.

Pada Sabtu, Pengarah JPNS, Omar Mahli memaklumkan, sebanyak 647 sekolah rendah dan menengah di Bumi Kenyalang ditutup buat sementara waktu selama lima hari bermula Isnin ini menyusuli keadaan jerebu yang menyebabkan beberapa lokasi di negeri tersebut mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut membenarkan pengisytiharan darurat di seluruh Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan tersebut dibuat setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan berhubung tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita