Skip to main content

Dunia

Semua pendaki yang terkandas di Tibet berhampiran Everest berjaya dipindahkan

Pasukan penyelamat pada Selasa (7 Okt) berjaya membawa semua pendaki yang masih berada berhampiran bahagian timur Gunung Everest di Tibet ke kawasan selamat, termasuk ratusan pemandu tempatan dan penggembala yak (lembu berbulu panjang), sekali gus menamatkan antara operasi mencari dan menyelamat terbesar di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua pendaki yang terkandas di Tibet berhampiran Everest berjaya dipindahkan

Petikan skrin daripada video yang menunjukkan para pendaki meninggalkan tapak perkhemahan mereka selepas salji dan hujan luar biasa lebat melanda kawasan Pergunungan Himalaya di Wilayah Tibet, China pada 5 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Handout/Geshuang Chen)

Diterbitkan : 08 Oct 2025 11:58AM
BEIJING: Pasukan penyelamat pada Selasa (7 Okt) berjaya membawa semua pendaki yang masih berada berhampiran bahagian timur Gunung Everest di Tibet ke kawasan selamat, termasuk ratusan pemandu tempatan dan penggembala yak (lembu berbulu panjang), sekali gus menamatkan antara operasi mencari dan menyelamat terbesar di kawasan itu.

Ratusan pendaki sebelum ini terkandas dalam salji tebal pada hujung minggu lalu di lembah terpencil Karma selepas ribut salji luar biasa kuat melanda dan menyebabkan salji turun dengan lebat di kawasan tersebut.

Salji turun sepanjang Sabtu di lembah itu, yang terletak pada purata ketinggian 4,200 meter. Pada Ahad, pasukan penyelamat membawa kira-kira 350 pendaki ke kawasan selamat.

Menurut laporan Reuters sebelum ini yang memetik sumber, kira-kira 200 pendaki yang masih berada di kawasan berkenaan dijangka tiba di kawasan selamat menjelang Selasa.

Secara keseluruhan, sebanyak 580 pendaki bersama lebih 300 pemandu, penggembala yak dan kakitangan sokongan lain sudah dipindahkan, lapor agensi berita rasmi Xinhua pada Selasa malam.

Ribut salji itu turut menggagalkan rancangan sekumpulan pendaki yang dibimbing oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Madison Mountaineering, untuk menawan puncak Cho Oyu, gunung setinggi 8,188 meter di sempadan China dan Nepal.

Lembah Karma pertama kali diterokai oleh pengembara Barat kira-kira seabad lalu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pembangunan kawasan Everest di Tibet sebagai tarikan pelancongan utama, kawasan itu semakin menarik perhatian para pengunjung. Lebih 540,000 pelancong melawat kawasan Everest tahun lalu, mencatatkan satu rekod baharu.

Kawasan Everest kini ditutup buat sementara waktu kepada orang awam, lapor Xinhua, termasuk Lembah Karma dan Rongshar, serta Cho Oyu.

Salji lebat pada hujung minggu lalu turut menjejaskan ratusan pendaki di beberapa bahagian lain di barat China, termasuk Xinjiang, Qinghai dan Gansu. Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut akibat gabungan hipotermia dan penyakit gunung akut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita