Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Semua parti bagi DUN Layang-Layang cuba pancing pengundi kaum India dalam PRN Johor

Anggaran Waktu Membaca:

KLUANG: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, antara "kerusi panas" pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, mencuri tumpuan apabila calon yang bertanding melakukan percubaan pada saat-saat terakhir untuk memancing undi daripada kaum India.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Layang-Layang, Abdul Mutalib Abd Rahim pada Khamis turun padang ke Taman Sri Jaya Renggam dan Taman Sri Layang-Layang untuk bersemuka dengan masyarakat India di kawasan itu ketika berkempen.

Beliau ditemani Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Abdul Azeez Abdul Rahim yang membantu berkempen dalam Bahasa Tamil bagi memikat hati pengundi kaum India di DUN Layang-Layang.

Encik Abdul Mutalib berkata beliau sangat rapat dengan masyarakat kaum India khususnya ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Layang-Layang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kami datang balik jumpa seperti jumpa kawan lama. Hubungan kami sangat baik, rapat dan mereka memberikan respons yang baik untuk menangkan saya dan BN,” kata beliau kepada Bernama di Taman Sri Layang-Layang semalam (10 Mac).

Berbekalkan sokongan MIC dan semua bantuan yang diberikan seperti mendapatkan geran rumah kepada komuniti tersebut di kawasan berkenaan, bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Warisan Negeri Johor itu yakin dapat meraih sokongan mereka.

Calon Perikatan Nasional (PN) K. Alagathiran pula berkata beliau sudah merancang pelbagai program dan usaha untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India seperti mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia serta membina sebuah dewan komuniti khas untuk mereka.

Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Johor itu juga berkata pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang bakal menyaksikan perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu.

Sebanyak 13 peratus daripada 25,147 pengundi berdaftar iaitu 3,300 pengundi di DUN itu adalah kaum India.

Sebelum ini, calon PKR Dr Maszlee Malik turut memuat naik video berdurasi 21 saat di laman Facebooknya yang memaparkan beliau berkempen dalam Bahasa Tamil sambil meniru aksi tangan pelakon legenda Rajinikanth.

Dr Maszlee meniru aksi Rajinikanth dalam filem "Sivaji The Boss" dengan menggayakan cermin mata gelap di hujung video itu yang dilihat sebagai usaha beliau untuk menarik perhatian pengundi India di DUN berkenaan.

Perebutan kerusi DUN Layang-Layang adalah antara Dr Maszlee, Encik Alagathiran, Encik Abdul Mutalib dan Encik Ahmad Shafiq Othaman daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan