'Semua orang menjerit': Ketakutan, huru-hara di Siam Paragon bila suspek lepaskan tembakan

Gambar: CNA/Jack Board
BANGKOK: Beberapa das tembakan kedengaran pada Selasa (3 Okt) di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok. Insiden tembakan tersebut meragut dua nyawa.
Angka korban jiwa dikemas kini oleh perkhidmatan kecemasan Thailand, daripada perangkaan awal yang diberikan, iaitu tiga korban jiwa.
Para saksi menggambarkan keadaan kelam-kabut sedang serangan berkenaan berlaku.
"Sekitar pukul 4.30 petang, saya mendengar bunyi tembakan yang kuat, secara berterusan, kira-kira 10 kali," kata Thanpawasit Singthongkham, 31 tahun, yang bekerja di sebuah restoran Jepun di pusat beli-belah itu, kepada AFP.
"Kemudian gedung serbaneka itu mengumumkan bahawa terdapat kejadian tembakan. Tanda kecemasan dihidupkan dan semua orang berlari meluru untuk meninggalkan (bangunan itu)."
Dia berkongsi rakaman yang menunjukkan keadaan pengunjung yang ketakutan di pusat beli-belah berlari tergesa-gesa melalui pintu besi keselamatan yang menghadang pintu masuk kedai, sebelum melarikan diri ke tangga kecemasan ketika semboyan berbunyi.
"Saya terdengar kira-kira lima das tembakan dan semua orang hanya berlari dan berlari - ia terjadi di seluruh tempat itu," jelas seorang saksi Gautam Vora, yang bersama dengan isteri dan bayinya.
"Semua orang menjerit dan berlari."
"SAYA SEDANG FIKIR JIKA SAYA AKAN MATI"
Seorang suri rumah berusia 50 tahun memberitahu Mediacorp bahawa terdapat kekeliruan yang tercetus mengenai apa yang berlaku pada awalnya. Cik Nucharee Sorntong sedang berada di tingkat lima pusat beli-belah itu untuk menghadiri sebuah acara apabila insiden tembakan tersebut berlaku.

"Mereka memberitahu kami bahawa terdapat insiden bukan biasa-biasa yang berlaku. Pada mulanya, saya tidak tahu kerana mereka tidak memberitahu apa yang berlaku tetapi kemudian saya melihat berita itu online," ujarnya.
"Terdapat beberapa ratus orang di dalam bilik itu. Semua pintu ditutup."
Dia kemudian pengsan di dalam bilik air kerana dia terlalu takut.
"Saya fikir sama ada saya akan mati sekiranya penembak itu datang kepada saya dalam bilik air itu," katanya.
Dua orang - seorang warga China dan Myanmar - terkorban, kata ketua polis kepada wartawan. Lima yang lain dilaporkan cedera.
Seorang suspek yang berusia 14 tahun diberkas. Rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang berambut panjang dan memakai kemeja berwarna hitam, cermin mata dan topi ditahan.
Pusat beli-belah Siam Paragon, yang terletak di tengah Bangkok, merupakan salah satu destinasi beli-belah popular di ibu kota Thailand itu. Ia sangat popular dalam kalangan para pelancong dan penduduk tempatan.
Insiden tembakan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keselamatan dan pengawalan senjata di Thailand.
Ini memandangkan insiden tersebut berlaku selang beberapa hari sebelum ulang tahun serangan berdarah di sebuah tajaka di Thailand, yang meragut 36 nyawa di sebuah perkampungan di Uthai Sawan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.