Skip to main content

Dunia

'Semua orang letih' dengan perang di Ukraine, kata ketua migrasi PBB

Anggaran Waktu Membaca:
'Semua orang letih' dengan perang di Ukraine, kata ketua migrasi PBB

Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa untuk Pendatang Asing (IOM) Amy Pope beri isyarat semasa temu bual dengan Reuters di Roma, Itali, pada 11 Jul 2025. (Gambar: REUTERS/Guglielmo Mangiapane)

ROME: Keletihan akibat perang di Ukraine dan pengurangan bantuan asing yang diterajui Amerika Syarikat menjejas usaha menyokong golongan yang melarikan diri daripada kesusahan.

Ketua agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran itu dalam satu wawancara pada Jumaat (11 Jul).

Ketua Pengarah Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Amy Pope bercakap sehari selepas persidangan pemulihan Ukraine di Rome mengumpul lebih €10 bilion (S$15 bilion) untuk negara itu.

"Konflik ini sudah masuk tiga setengah tahun. Saya rasa adalah wajar untuk mengatakan bahawa semua orang letih, dan kami mendengar keluhan itu daripada rakyat Ukraine yang sudah mengalami serangan berterusan di bandar-bandar mereka dan sering kali berpindah beberapa kali," katanya kepada Reuters.

"Tindak balas terhadapnya, bagaimanapun, mestilah keamanan, kerana pada akhirnya, tanpa keamanan, tidak akan ada penghujungnya, bukan sahaja kepada permintaan dana, tetapi juga kepada sokongan untuk rakyat Ukraine."

Pencerobohan Rusia mencetuskan krisis pelarian terbesar di Eropah abad ini, dengan 5.6 juta pelarian Ukraine di seluruh dunia dan 3.8 juta berpindah di negara mereka sendiri, menurut data PBB.

IOM dan agensi PBB lain dihambat oleh kekurangan dana yang besar kerana Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengurangkan bantuan asing dan penderma Eropah seperti Britain mengalihkan dana daripada pembangunan kepada pertahanan.

Keputusan Amerika Syarikat akan menyebabkan IOM mengalami kekurangan AS$1 bilion (S$1.3 bilion) tahun ini, kata Cik Pope, sambil menyatakan pengurangan bajet harus dilakukan secara berperingkat atau Encik Trump dan pihak lain berisiko mencetuskan krisis migrasi yang lebih teruk.

"Tidak wajar untuk memberikan bantuan dan kemudian pergi begitu sahaja dan tidak meninggalkan apa-apa. Dan apa yang kita lihat berlaku apabila sokongan berkurangan adalah orang ramai berpindah lagi... Jadi (pengurangan itu) akhirnya boleh menyebabkan kesan buruk," katanya.

AMARAN UNTUK AMERIKA, PUJIAN UNTUK ITALI

Cik Pope, 51 tahun, adalah wanita pertama yang mengetuai IOM dan bekas penasihat kepada pentadbiran Encik Obama dan Encik Biden yang kini bekerjasama dengan Rumah Putih Encik Trump mengenai apa yang dipanggil "pengusiran kendiri".

Beliau berkata IOM mempunyai pengalaman berdekad-dekad dalam program sedemikian di Eropah dan ia mengambil masa untuk dilaksanakan, terutamanya untuk mempersiapkan mereka yang kembali dan memastikan mereka pulang secara sukarela.

"Itu tidak selalu bergerak secepat yang kerajaan inginkan," kata Cik Pope.

Ditanya sama ada IOM akan berhenti bekerjasama dengan Amerika Syarikat jika kepulangan itu ternyata secara paksa, beliau berkata: "Kami sudah menjelaskan kepada mereka apa standard kami, dan seperti setiap negara anggota, kami menggariskan apa yang kami boleh lakukan dan apa yang kami tidak boleh lakukan, dan mereka faham itu, dan ia adalah sebahagian daripada perjanjian."

Selepas Rome, Cik Pope dalam perjalanan ke Washington untuk bertemu dengan pegawai pentadbiran Encik Trump dan penggubal undang-undang Amerika Syarikat.

Beralih ke Eropah, beliau memuji keputusan Itali untuk meningkatkan permit kerja migran kepada hampir 500,000 untuk 2026-2028, datang dari kerajaan berhaluan kanan yang sebaliknya melaksanakan dasar sempadan yang ketat.

"Apa yang dilakukan Itali adalah melihat secara realistik tenaga kerja yang mereka perlukan, kemahiran yang mereka perlukan, bakat yang mereka perlukan. Dan kemudian mereka mereka bentuk sistem untuk membolehkan orang ramai masuk melalui saluran yang selamat dan sah," kata Cik Pope.
Sumber : Reuters/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita