Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Semua konsert terbuka di Kedah digantung

Anggaran Waktu Membaca:
Semua konsert terbuka di Kedah digantung

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Najmi Ahmad (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Ushawan dan Koperasi Mohd Firdaus Ahmad mengadakan sidang media pada 4 Oktober 2022 mengenai isu penganjuran program Art Loq Staq Festival Muda Mudi Fest. (Gambar: BERNAMA)

ALOR SETAR: Semua konsert terbuka di Kedah dihentikan sementara sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) yang baru ditetapkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah Mohd Firdaus Ahmad berkata pemberhentian sementara itu bagi membolehkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan mengenai penyelarasan SOP penganjuran konsert di Kedah.

“Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

“Tetapi, Menteri Besar maklum secara umum jadi kita tidak pasti jenis konsert yang macam mana tidak dibenarkan itu. Esok, saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Negeri dan mungkin ia boleh diperincikan oleh Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media, di Wisma Darul Aman pada Selasa (4 Okt), berhubung insiden muda-mudi yang terkinja-kinja dalam penganjuran ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Balai Seni Alor Setar baru-baru ini.

Pada Isnin (3 Okt), tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan golongan anak muda sambil melakukan pelbagai aksi, antaranya menari di Balai Seni Alor Setar, dan perkara itu mengundang rasa kurang senang memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Dalam pada itu, Encik Mohd Firdaus berkata hasil perbincangan dan perjumpaan bersama penganjur mendapati, tiada sebarang pelanggaran melibatkan pihak berkenaan. Sebaliknya, insiden yang terjadi itu berada di luar jangkaan mana-mana pihak.

“Penganjur memang sudah sedia maklum dengan arahan dan SOP yang perlu dipatuhi, selain telah mendapat kebenaran pihak polis dan lesen hiburan untuk penganjuran program berkenaan. Penganjur juga telah mengambil tindakan awal, dengan memberhentikan konsert pada waktu kejadian itu berlaku.

“Saya sendiri telah melihat tentatif program iaitu pada pukul 1.00 tengah hari, 4.00 petang, 7.00 dan 8.00 malam, sebarang aktiviti hiburan dihentikan sementara waktu bagi menunaikan fardhu solat tetapi perkara ini menjadi isu besar kerana tapak program terletak berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam,” terangnya. 

Beliau berkata program yang diadakan pada 30 September dan 1 Oktober itu, lebih kepada perhimpunan anak muda yang meminati seni selain membuka peluang kepada usahawan muda untuk menjana pendapatan melalui penjualan produk makanan dan minuman, pakaian serta barangan perhiasan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan