Skip to main content

Dunia

Semua keputusan perolehan ATM, PDRM terkait isu rasuah dibekukan sementara: PM Anwar

Semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anggaran Waktu Membaca:
Semua keputusan perolehan ATM, PDRM terkait isu rasuah dibekukan sementara: PM Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap dengan para wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, di Kuala Lumpur, pada 16 Januari 2026. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

“Saya berterima kasih kerana Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan yang sangat jelas berkenaan perkara ini.

"Kita akan ambil perhatian dan menunggu laporan untuk meneliti sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan, supaya proses dipatuhi sepenuhnya,” kata beliau.

Encik Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada Jumaat (16 Jan).

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilaporkan merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini, termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras amalan terbaik tadbir urus.

Usaha itu bertujuan membanteras ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi pertahanan negara.

Pada 7 Januari lalu , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan mantan Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya berkaitan projek perolehan Tentera Darat selain menyita barangan bernilai RM11.4 juta (S$3.61 juta) hasil risikan di dua lokasi, iaitu di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan satu lagi di Besut, Terengganu.

Mengulas lanjut, Encik Anwar berkata tindakan tegas dan menyeluruh SPRM itu memastikan rakyat tidak menanggung kesan negatif, termasuk terhadap kemajuan ekonomi negara.

Beliau berkata selain SPRM, kerajaan turut memberi ruang penuh kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk bertindak, dan kejayaan usaha tersebut memerlukan tekad politik serta kerjasama rakyat secara menyeluruh.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita