Semua 189 penumpang dan anak kapal Lion Air maut
Kesemua 189 penumpang dan anak kapal pesawat Lion Air yang terhempas pada pagi Isnin (29 Okt), berkemungkinan terbunuh dalam nahas itu.
JAKARTA: Kesemua 189 penumpang dan anak kapal pesawat Lion Air yang terhempas pada pagi Isnin (29 Okt), berkemungkinan terbunuh dalam nahas itu. Demikian menurut para pegawai menyelamat apabila mengumumkan mereka menemui cebisan mayat dan akan meneruskan pencarian hingga larut malam.
Pesawat Boeing-737 MAX, yang mula beroperasi hanya beberapa bulan lalu, hilang dari radar 13 minit sejurus berlepas dari Jakarta, terhempas ke dalam Laut Jawa beberapa minit selepas meminta kebenaran untuk berpatah balik ke Jakarta.
Berdasarkan data dari laman web yang menjejaki data penerbangan, pesawat JT610 meningkatkan kelajuannya ketika tiba-tiba hilang ketinggian beberapa minit sebelum terputus hubungan. Menurut pihak berkuasa Indonesia, terdapat saksi-saksi yang terlihat pesawat tersebut terhempas ke dalam laut.
"Mangsa-mangsa yang kami temui, mayat mereka tidak berada dalam keadaan sempurna dan sudah beberapa jam, jadi berkemungkinan besar semua 189 orang dalam pesawat itu meninggal dunia," kata pengarah operasi agensi mencari dan menyelamat, Encik Bambang Suryo Aji.
Kira-kira 40 penyelam merupakan sebahagian daripada 150 kakitangan yang dikerahkan ke tempat kejadian, menurut pihak berkuasa. Bangkai pesawat itu dipercayai tenggelam 30 hingga 40 meter ke dalam laut.
Pasukan penyelamat di perairan Tanjung Karawang.(Gambar: Resmi Malau/AFP)
Lion Air mengaku bahawa sebelum ini, pesawat tersebut pernah menjalani kerja pembaikan yang tidak dinyatakan butirannya.
Seramai 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi serta enam anak kapal berada dalam pesawat itu.
Dua juruterbangnya, secara bersama-sama, sudah mencatat masa penerbangan 11,000 jam dan baru-baru ini menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian dadah.
Suasana pilu menyelubungi lapangan terbang utama Pangkal Pinang dengan anggota keluarga penumpang menangis dan berpelukan sesama sendiri. Ada sebahagiannya menjerit: "Oh Tuhan,"
Kementerian Kewangan Indonesia menyatakan, kira-kira 20 kakitangannya berada dalam kapal terbang tersebut.
Sebahagian daripada mereka ialah rakan kepada Sony Setiawan, yang sepatutnya turut menaiki pesawat itu tetapi terlepas disebabkan kesesakan lalu lintas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.