Sempadan Turki-Syria digegarkan gempa baru; sekurang-kurangnya 3 maut

Bangunan yang sebahagiannya musnah, di Antakya, selatan Turki pada 20 Februari 2023 selepas gempa bumi 6.4 Richter melanda wilayah Hatay di selatan Turki. (Gambar: Sameer Al-Doumy/AFP)
ANTAKYA: Kawasan sempadan Turki dan Syria digegarkan dengan gempa bumi baru ada Isnin (20 Feb), hanya dua minggu selepas gempa bumi dahsyat melanda kawasan tersebut, meragut nyawa lebih 47,000 orang dan merosakkan atau memusnahkan beratus-ratus ribu rumah.
Gempa bumi sekuat 6.4 Richter itu, berpusat berhampiran bandar Antakya di selatan Turki dan boleh dirasakan di Syria, Mesir dan Lubnan.
Ia berlaku pada kedalaman 10 kilometer, menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).
Datuk Bandar Hatay, Lutfu Savas, memberitahu penyiar HaberTurk bahawa beliau menerima laporan bahawa beberapa orang terperangkap di bawah runtuhan susuli gempa bumi terbaru itu. Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 200 lagi cedera, dedah Menteri Dalam Suleyman Soylu.
Di Samandag, di mana Penguasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu melaporkan seorang terkorban, penduduk berkata, lebih banyak bangunan runtuh, tetapi sebahagian besar penduduk bandar itu sudahpun melarikan diri selepas gempa bumi yang berlaku sebelum ini. Timbunan runtuhan dan perabot yang ditinggalkan membarisi jalan raya yang gelap dan terabai.
Muna Al Omar berkata beliau berada di dalam khemah di sebuah taman di kawasan pusat Antakya apabila tanah mula bergegar lagi.
"Saya rasa seperti dunia akan berbelah dua di bawah kaki saya," katanya sambil menangis dan memeluk anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.
Di Syria pula, lebih 130 orang cedera dan beberapa bangunan, runtuh.
Beberapa jam sebelum itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken semasa melawat Turki berkata, Washington akan menghulurkan bantuan "selama diperlukan" sedang operasi menyelamat mangsa susuli gempa bumi pada 6 Februari dan gegaran susulan dihentikan, dan tumpuan beralih kepada kerja-kerja pembinaan semula.
Angka korban gempa bumi dua minggu lalu meningkat kepada 41,156 di Turki, menurut AFAD pada Isnin, dan dijangka semakin meningkat, dengan sebanyak 385,000 apartmen musnah atau rosak teruk serta ramai orang yang masih hilang.
Presiden Tayyip Erdogan berkata, kerja-kerja pembinaan bagi hampir 200,000 apartmen di 11 wilayah di Turki yang terjejas gempa akan bermula bulan depan.
Jumlah bantuan kemanusiaan AS bagi Turki dan Syria mencecah AS$185 juta (S$247 juta), menurut Jabatan Negara AS.
Antara mangsa gempa yang terselamat adalah kira-kira 356,000 wanita hamil yang memerlukan akses segera kepada khidmat kesihatan, menurut agensi kesihatan reproduktif dan seksual Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Meraka termasuk 226,000 wanita di Turki dan 130,000 di Syria, dengan kira-kira 38,800 daripada mereka dijangka melahirkan anak pada bulan depan. Ramai daripada mereka berteduh di khemah atau terdedah kepada keadaan cuaca sejuk dan sukar untuk mendapat makanan atau air bersih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.