Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sempadan M'sia bakal dibuka semula pada 1 April: Berikut perkara yang perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
Sempadan M'sia bakal dibuka semula pada 1 April: Berikut perkara yang perlu anda tahu

Seorang penumpang memakai pelitup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Nov 2021 (Gambar: Mohd RASFAN/AFP)

KUALA LUMPUR: Dua tahun selepas Malaysia menutup sempadannya  pada 18 Mac 2020, berikutan pandemik global, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara itu akan dibuka semula sepenuhnya pada 1 April.

Menurut Encik Ismail Sabri dalam sidang media pada Selasa (8 Mac)  pembukaan semula itu merupakan sebahagian daripada "Peralihan kepada fasa Endemik". Selaras dengan itu, kerajaan juga akan menarik balik beberapa sekatan dalam negeri melibatkan waktu operasi perniagaan, kapasiti pekerja serta had kapasiti solat di masjid dan rumah ibadat yang lain.

Bagaimanapun, memandangkan varian Omicron COVID-19 yang masih menular di Malaysia dan seluruh dunia, rakyat Malaysia dan pelawat asing yang memasuki negara itu perlu mematuhi beberapa protokol, walaupun sekatan sudah dilonggarkan.

Berikut ini beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang pembukaan semula sempadan Malaysia:

APAKAH PROTOKOL KESIHATAN UNTUK WARGA ASING YANG MEMASUKI MALAYSIA?

Mulai 1 April, warga asing yang memasuki Malaysia dengan dokumen lawatan yang sah tidak perlu menjalani kuarantin, selagi mereka sudah lengkap divaksin.

Keperluan bagi warga asing untuk memohon masuk Malaysia menerusi aplikasi MyTravelPass juga akan ditarik balik. 

Sebaliknya, mereka hanya perlu memuat turun dan mengaktifkan aplikasi jejak kontak MySejahtera dan mengisi borang sebelum pelepasan dalam aplikasi tersebut. 

Pelawat juga perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) dua hari sebelum berlepas selain ujian pantas antigen COVID-19 (RTK-Ag) profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaludddin menerangkan dalam satu sidang media pada Rabu (9 Mac) bahawa pelawat yang belum lengkap divaksin atau tidak divaksin perlu menjalani kuarantin lima hari selepas tiba di Malaysia. Tempoh pengasingan itu  dipendekkan daripada 10 hari sebelum ini. 

"Selepas mereka selesaikan menjalani kuarantin, individu itu mesti mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, mereka tidak boleh makan di restoran selagi mereka tidak lengkap divaksin," kata menteri itu.

Bagi pelawat yang mempunyai sebab kesihatan tidak boleh divaksin, mereka perlu memuat naik bukti pengecualian, seperti surat doktor, ke dalam aplikasi MySejahtera mereka.

"Pengecualian itu akan dinilai oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan kesahihannnya."

"Selepas penilaian itu selesai dan didapati sahih, mereka akan mendapat pengecualian kesihatan," tambah Encik Khairy.

Pelawat yang memasuki Malaysia pada minggu terakhir bulan Mac akan dilepaskan dari perlu menjalani  perintah kuarantin pada 1 April, kata menteri tersebut. Buat masa ini, pelawat yang sudah divaksin perlu menjalani kuarantin lima hari bagi mereka yang sudah mendapatkan dos penggalak atau tujuh hari bagi mereka belum mendapatkan dos penggalak.

Selain itu, kemasukan bebas kuarantin hanya dibenarkan untuk kanak-kanak dan remaja bawah 17 tahun, tanpa mengira status vaksinasi.

Seperti pelawat yang lain, mereka perlu melalui ujian RT-PCR sebelum berlepas dan RTK-Ag selepas ketibaan.

Semua protokol kesihatan akan dimuat naik ke dalam https://covidprotocol.moh.gov.my, tambah Encik Khairy.

APA YANG BERUBAH BAGI RAKYAT MALAYSIA YANG KE LUAR NEGARA?

Rakyat Malaysia dengan dokumen lawatan yang sah dibenarkan untuk ke luar negara yang sudah membuka sempadannya kepada warga asing.

Rakyat Malaysia yang sudah lengkap divaksin  tidak perlu menjalani  kuarantin apabila pulang ke Malaysia. Mereka juga perlu memenuhi keperluan ujian RT-PCR sebelum berlepas dan RTK-Ag selepas ketibaan.

Bagi negara yang masih menutup sempadannya, rakyat Malaysia boleh menggunakan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) yang sudah dipersetujui antara kerajaan Malaysia dengan negara berkaitan.

Malaysia sudah membuat perjanjian VTL dengan Singapura sejak lewat 2021. VTL dengan Thailand, Brunei dan Indonesia sedang dalam perbincangan.

APAKAH KESAN VTL S'PURA DENGAN M'SIA INI?

Terbit daripada pengumuman  Malaysia itu, pelawat dari Singapura boleh memasuki Malaysia mulai 1 April tanpa perlu menjalani kuarantin selagi mereka sudah lengkap divaksin.

Bagaimanapun, mereka masih perlu memenuhi keperluan kuarantin yang dikenakan Singapura apabila pulang, jika mereka tidak merentas negeri menerusi VTL. Kuota harian  sebanyak 4,320 pelawat dilaksanakan dua hala bagi mereka yang menggunakan VTL darat antara Singapura dan Malaysia. Had bagi VTL udara tidak didedahkan.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura menyatakan pada Selasa (8 Mac) bahawa ia sedang bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Malaysia untuk membenarkan pelawat yang sudah divaksin untuk merentas sempadan menggunakan kaedah pengangkutan lain.

Dalam sidang media pada Rabu, Encik Khairy berkata kerajaan persekutuan sedang membincangkan  dengan kerajaan negeri yang mempunyai sempadan antarabangsa dan juga negara jiran tentang isu tersebut.

Oleh itu, butiran mengenai perjalanan antarabangsa melalui darat hanya akan diumumkan minggu depan, tambah beliau, memandangkan perlu diadakan protokol yang membezakan pelawat yang  masuk untuk melancong atau pelawat berkala yang berulang alik.

Sumber : CNA/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan