Skip to main content

Dunia

Sempadan Australia Barat dibuka semula pada 3 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
Sempadan Australia Barat dibuka semula pada 3 Mac

Seorang wanita berlari-lari anak di Elizabeth Quay, Perth pada 29 Jun 2021. (Gambar: Trevor Collens/AFP)

Diterbitkan : 19 Feb 2022 02:04PM

PERTH: Kawalan ketat sempadan Australia Barat (WA) akan dilonggarkan pada 3 Mac, empat minggu sebelum tarikh asal yang dijadualkan bagi perjalanan tanpa kuarantin. 

Ketua Menteri McGowan mengumumkan tarikh baru itu semasa sidang media pada Jumaat petang (18 Feb), setelah Jabatan Kesihatan WA melaporkan 194 kes baru dalam tempoh terkini. 

Kesemua ketibaan antarabangsa dan antara wilayah harus menjalani ujian pantas antigen (ART) di Lapangan Terbang Perth dan perlu melaporkan keputusan positif kepada jabatan tersebut. 

Encik McGowan berkata beliau menjangkakan kadar vaksinasi suntikan dos penggalak secara keseluruhannya akan mencecah 70 peratus menjelang 3 Mac, dengan kadar dos pertama dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun berada pada 65 peratus. 

"Pelancaran perjalanan tanpa kuarantin bermaksud akan terdapat penularan virus itu di WA," katanya.

"Pada masa yang sama, terbukti bahawa jumlah kes harian COVID-19 di sini sedang meningkat."

Untuk membendung penularan gelombang Omicron, Encik McGowan mengumumkan beberapa sekatan baru yang akan berkuat kuasa mulai pukul 6.00 pagi pada Isnin (21 Feb). 

Pelitup harus dipakai di semua tempat-tempat awam yang tertutup di seluruh wilayah tersebut. 

Perhimpunan di rumah akan dihadkan kepada 30 orang, manakala acara-acara peribadi di kawasan-kawasan terbuka dihadkan kepada 200. 

Lawatan bagi penghuni-penghuni rumah jagaan akan dihadkan kepada empat pengunjung sehari, meskipun terdapat pengecualian bagi keadaan-keadaan tertentu. 

Menteri Kesihatan Amber-Jade Sanderson berkata Jabatan Kesihatan WA meramalkan jumlah kes akan mencecah kemuncak sekitar 10,000 kes harian pada hujunh Mac. 

"Tambahan pula, sekitar 443 katil hospital awam akan dipenuhi sehingga kemuncak, dengan 53 lagi di ICU," katanya. 

"Selain itu, ramalan tersebut memberitahu kami bahawa empat kematian boleh dijangkakan setiap hari apabila jumlah kes mencecah kemuncaknya. 

"Saya sedia maklum berita ini sukar untuk ramai orang, namun saya yakin sebagai sebuah masyarakat, kita amat bersedia dan dilindungi." 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita