Skip to main content

Dunia

Semakin ramai pelabur asing tertarik dengan projek mega Nusantara, dedah menteri pelaburan baharu Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai pelabur asing tertarik dengan projek mega Nusantara, dedah menteri pelaburan baharu Indonesia
Diterbitkan : 31 Aug 2024 06:55AM Dikemas Kini : 31 Aug 2024 07:14AM
SINGAPURA: Semakin ramai pelabur asing menunjukkan minat terhadap projek mega Nusantara, dedah Menteri Pelaburan Indonesia yang baharu, Rosan Roeslani.

Encik Rosan berkata beliau yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan ke ibu kota baharu Indonesia. Ini walaupun para pengkritik meragui kebolehlaksanaan projek dan cabaran untuk mendapatkan pelabur.

"Terdapat beberapa isu apabila anda mula mencipta ibu kota baharu, tetapi kami percaya semua isu sudah dihuraikan (dan) telah diselesaikan," katanya kepada Mediacorp pada Rabu (28 Ogos), hari terakhir lawatannya ke Singapura .

“Pada awalnya, pelabur tempatan menyokong kami dari segi pelaburan. Tetapi kini, pelabur asing sudah mula menimbangkannya.”

Sepanjang lawatannya selama tiga harinya, Encik Rosan bertemu dengan pelbagai pemimpin dan pegawai pemerintah Singapura, termasuk Perdana Menteri Lawrence Wong.

Perbincangan tertumpu kepada bidang kerjasama termasuk tenaga boleh diperbaharui dan proses mengekstrak biotenaga daripada biojisim dan menyimpan sebanyak mungkin karbon dioksida yang terhasil.

KESTABILAN POLITIK TARIK PERHATIAN SUSULI BANTAHAN BARU-BARU INI

Tetapi rancangan Encik Rosan untuk membawa ekonomi Indonesia ke peringkat seterusnya diusulkan di tengah-tengah tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara, yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat yang ingin melabur.

"Saya percaya keamanan dan kestabilan adalah salah satu faktor kukuh kami dalam menjalankan perniagaan di Indonesia," kata Encik Rosan.

“Pasti ada pasang surut, tetapi setakat ini, kami sentiasa menguruskan isu ini dengan sangat (baik) dan sangat berhati-hati.”

Awal bulan ini, sejumlah rakyat Indonesia mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah keputusan Parlimen membatalkan keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai kelayakan umur dan ambang pilihan raya untuk pilihan raya tempatan.

Keputusan itu akan membuka jalan kepada anak bongsu Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep, 29 tahun, untuk bertanding bagi jawatan Naib Gabenor Jawa Tengah dalam Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada bulan November ini. Buat masa ini had usia minimum yang ditetapkan iaitu 30 tahun untuk calon layak bertanding menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Ia juga akan menyekat mantan Gabenor Jakarta Anies Baswedan daripada bertanding semula menentang calon yang disokong oleh gabungan parti pimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Parlimen Indonesia sejak itu telah menangguhkan pindaan yang dirancangkan pada undang-undang pilihan raya negara tersebut.
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita