'Seluruh kawasan tempat tinggal saya musnah': Warga SG terpaksa pindah dek kebakaran hutan di Los Angeles
Rakyat Singapura Shabnam Melwani sedang memandu pulang dari gimnasium di Los Angeles pada pagi Selasa (7 Jan) apabila beliau melihat abu berterbangan di udara.
(Gambar: AP)
Keadaan langit yang sebelum ini cerah dan terik apabila beliau keluar untuk ke gim dua jam lalu, mula menjadi gelap.
Dari jauh, beliau melihat kepulan asap yang tebal.
Beliau juga kerap perlu menghentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada kenderaan bomba yang bergegas ke arah kawasan Pacific Palisades, di mana beliau tinggal.
Kebakaran di Palisades merupakan salah satu kebakaran besar yang melanda kawasan pinggir bandar di Los Angeles.
Puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan berpuluh-puluh struktur musnah akibat kebakaran yang merebak dengan pantas.
Situasi yang berubah dengan cepat itu juga diburukkan lagi dengan angin Santa Ana serta cuaca yang sangat kering.
"Saya dirundung pelbagai emosi ... Saya berasa terkejut, takut tetapi pada masa yang sama, ia terasa begitu nyata, dan saya tidak dapat percaya bahawa ia benar-benar berlaku," kata pemilik perniagaan berusia 55 tahun itu yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat sepanjang lima tahun lalu.
"Seluruh kawasan itu penuh dengan trak bomba dan mereka mengarahkan kita supaya segera berkemas dan tinggalkan tempat itu," katanya.
"Kami hanya punya masa 10 minit untuk capai apa yang sempat dan tinggalkan rumah kami."
Ketiga-tiganya kini sedang menumpang di rumah saudara Cik Shabnam.
Beliau juga berkata mutu udara di sana serupa dengan apabila Asia Tenggara dilanda krisis jerebu pada 2015.
Cik Shabnam berkata: "Ia kelihatan seperti ada abu di mana-mana, namun ... apabila saya memeriksa rakaman kamera keselamatan saya, saya menyedari bahawa ia bukan abu tetapi ia sebenarnya bara menyala. Ia sangat menakutkan kerana bara menyala berterbangan di udara."
"Seluruh kawasan tempat tinggal saya habis musnah. Terdapat barisan jalan raya di sekitar kami di mana rumah-rumah habis dijilat api. Ia sangat menyayat hati."
Mujur bagi Cik Shabnam, kawasan di mana terletak rumah kediamannya tidak terjejas oleh kebakaran itu.
"Ia suatu keajaiban kerana rumah kami terselamat," katanya.
Encik Herbert Tay, yang tinggal di kawasan Barat Hollywood namun kini sedang bercuti di Singapura sehingga Jumaat, berkata beliau telah mengikuti perkembangan semasa sejak kebakaran belukar itu dilaporkan.
"Situasi itu terus berkembang dan ia berubah setiap jam," kata bekas rakyat Singapura berusia 69 tahun itu, yang kini seorang warga Kanada.
"Apabila saya pertama kali dimaklumkan mengenai kejadian itu, kebakaran itu berlaku di Pacific Palisades dan sebelum saya tidur saya terfikir mungkin ia dapat dikawalkan di sana namun ia kemudian merebak hingga ke Malibu dan jadi kebanyakan restoran dan mercu tanda yang saya sudah terbiasa lihat di Malibu terbakar," katanya.
"Sejak pagi ini, berlaku kebakaran di Hollywood Hills dan Studio City dan ia semakin menghampiri tempat tinggal saya.
"Tetapi secara peribadi saya tidak terjejas oleh kejadian ini kerana kebakaran itu merebak dari kawasan bukit ... dan tempat tinggal saya terselamat kerana ia kawasan tanah yang rata dan ia terletak di kawasan yang membangun dan tidak mempunyai sebarang pokok renek kering, yang menjadikan kebakaran itu lebih marak."
Encik Tay menambah beliau merancang untuk pulang ke Amerika esok seperti dirancangkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.