Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Selepas 'pembersihan' UMNO, persaingan naib presiden pula hangatkan persada politik M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas 'pembersihan' UMNO, persaingan naib presiden pula hangatkan persada politik M'sia

Barisan bendera UMNO berlatarbelakangkan Menara Dato' Onn yang menempatkan ibu pejabat UMNO. (Gambar fail: Jimin Lai/AFP)

KUALA LUMPUR: Menyusuli pemecatan dan penggantungan sebilangan anggota kanan UMNO pada minggu lalu, parti politik tertua di Malaysia itu bakal mengadakan pemilihan pada 18 Mac.

Menjelang pemilihan parti, media tempatan melaporkan persaingan sengit dijangkakan bagi jawatan-jawatan naib presiden parti. Ada tiga tempat yang bakal menjadi rebutan.
Dua jawatan tertinggi UMNO - presiden dan timbalan presiden - tidak akan dipertandingkan setelah perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung 2022 memutuskan demikian. Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi ialah presiden parti sementara Menteri Pertahanan Mohamad Hasan ialah timbalan presiden.
Menurut laporan New Straits Times (NST) pada Rabu (1 Feb), sekurang-kurangnya tujuh calon akan bersaing untuk merebut tiga jawatan naib presiden tersebut.

Mereka termasuk para anggota Majlis Kerja Tertinggi Dr Zambry Abdul Kadir, Cik Azalina Othman Said, dan Encik Johari Abdul Ghani.

Dr Zambry ialah Menteri Luar Malaysia sementara Cik Azalina ialah Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.

Calon-calon lain yang disebut-sebut sebagai berminat untuk bertanding bagi jawatan naib presiden ialah Naib Presiden sekarang, Encik Mohamed Khaled Nordin, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki, mantan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Ketua UMNO Sabah Bung Moktar Radin.

Laporan NST juga menambah dua lagi naib presiden sedia ada - mantan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Encik Mahdzir Khalid - belum melahirkan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Sumber-sumber dalam parti memberitahu NST bahawa Encik Khaled dijangka mempertahankan jawatannya.

"Khaled dijangka berjaya mempertahankan jawatannya, memandangkan beliau mempunyai hubungan baik dengan para pemimpin parti dan penyokong," menurut sumber tersebut dalam laporan NST.

NST juga melaporkan ketiga-tiga calon yang mengambil pendirian propresiden - Dr Zambry, Cik Azalina dan Encik Asyraf - merupakan calon-calon kuat untuk merebut jawatan naib presiden.

"Zambry, Azalina dan Asyraf merupakan calon-calon propresiden yang diketahui dalam parti," kata sumber tersebut kepada NST, sambil menambah kedudukan Encik Johari masih belum ditentukan dalam persaingan bagi tiga jawatan naib presiden UMNO.

"Johari rapat dengan presiden parti. Beliau ialah antara pemimpin yang memberi nasihat yang diterima oleh Zahid. Lebih penting lagi, Johari gigih dalam meraih sokongan akar umbi.

"Beliau memberitahu para penyokongnya bahawa perubahan (demi kebaikan) akan berlaku dalam UMNO dan beliau sedang bersiap sedia untuk melaksanakannya," menurut sumber tersebut dalam laporan NST.

NST juga melaporkan bahawa sumber dalam parti yang diwawancaranya menolak khabar angin bahawa mantan menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan mantan menteri pertahanan Hishammuddin Hussein sebelum ini merancang untuk menandingi jawatan-jawatan naib presiden.

"Ia tidak benar. Mereka berdua tidak pernah merancang untuk bertanding bagi jawatan naib presiden," kata seorang sumber kepada NST.

Pada Jumaat lalu, Encik Khairy diumumkan dipecat daripada UMNO manakala Encik Hishammuddin merupakan antara anggota yang digantung keahlian mereka. Ini setelah presiden UMNO Ahmad Zahid memberi amaran parti itu akan menjalankan "pembersihan secara besar-besaran, termasuk mereka yang sabotaj parti".

Secara berasingan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

"Jika diberi peluang, saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan MKT UMNO untuk menyumbang khidmat kepada parti,” kata beliau dalam pesanan ringkas kepada Astro AWANI.

Tengku Zafrul menambah anggota-anggota UMNO menginginkan pucuk pimpinan yang lebih dinamik.

"Saya percaya pemimpin dan akar umbi parti mahu melihat gabungan kepimpinan yang lebih dinamik dan pelbagai latar untuk pastikan proses pengukuhan parti pasca PRU15 dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan