Skip to main content

Dunia

Selepas kalah PRN, DAP pertimbang masa depan dalam Kabinet PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas kalah PRN, DAP pertimbang masa depan dalam Kabinet PM Anwar

Para anggota DAP menghadiri Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Shah Alam, Selangor, pada 16 Mac 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 05:56PM
KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP), parti terbesar dalam kerajaan perpaduan Malaysia, berdepan persimpangan penting apabila lebih 4,000 perwakilan dijadual berhimpun pada 16 Ogos bagi menentukan sama ada parti itu harus kekal dalam kerajaan.

Kongres DAP itu menjadi lebih penting selepas kalah dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan, apabila Pakatan Harapan (PH) kehilangan kuasa di Negeri Sembilan selepas menerajui negeri itu selama dua penggal.

Walaupun DAP berjaya mengekalkan beberapa kerusi, anggota parti dan pemerhati politik berkata terdapat rasa kecewa yang mendalam dalam kalangan anggota, khususnya terhadap rekod pemerintah dalam melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.

Jika para perwakilan memutuskan lima menteri penuh dan enam timbalan menteri DAP harus melepaskan jawatan, para pemimpin parti berkata DAP akan terus menyokong pemerintah perpaduan di Parlimen sehingga penggal semasa berakhir.

Namun, para penganalisis dan sesetengah anggota DAP berkata tindakan sedemikian boleh membawa implikasi besar, malah berpotensi menyebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal.

Mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Encik Ong Kian Ming berkata ramai perwakilan kecewa terhadap hala tuju PH dan DAP, dan mahu menghantar isyarat bahawa pemerintah gagal memenuhi jangkaan dalam melaksanakan pembaharuan politik dan institusi.

KELUAR ATAU KEKAL DALAM PEMERINTAH?

Beberapa ahli politik DAP berkata anggota akar umbi kecewa terhadap hala tuju parti dan pembaharuan yang belum dilaksanakan, namun pandangan masih berbeza mengenai sama ada parti itu harus meninggalkan pemerintah persekutuan.

Anggota DUN Tronoh Encik Steven Tiw Tee Siang berkata DAP harus terus kekal dalam kerajaan bagi menghormati mandat yang diberikan rakyat pada PRU15 dan mengekalkan kestabilan politik.
Related article image
Anggota DUN Tronoh Steven Tiw (kanan) membantu kegiatan pilihan raya di Negeri Sembilan. (Gambar: Facebook/Steven Tiw Tee Siang
Mantan Anggota Parlimen DAP Encik Charles Santiago meramalkan para perwakilan akhirnya akan memilih untuk terus kekal dalam kerajaan kerana tindakan keluar boleh mencetuskan krisis politik dan memaksa pilihan raya diadakan lebih awal.

Ketua penyelidik Ilham Centre Encik Yusri Ibrahim pula berkata tindakan DAP meninggalkan Kabinet akan terus melemahkan sokongan terhadap parti itu serta memberi isyarat negatif mengenai kestabilan kerajaan.

BAGAIMANA DAP BOLEH MELANGKAH KE HADAPAN?

Para ahli politik DAP berkata parti itu perlu kembali kepada asas dengan mendengar pandangan pengundi serta menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, khidmat awam dan pembaharuan institusi.
Related article image
Para penyokong Pakatan Harapan menghadiri kempen pilihan raya di Seremban pada 29 Julai 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)>
Encik Santiago berkata DAP dan PH perlu kembali memberi tumpuan kepada agenda pembaharuan serta isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat, khususnya ekonomi.

Para penganalisis politik pula berkata perubahan dasar sahaja mungkin tidak mencukupi untuk PH mendapatkan semula sokongan pengundi memandangkan politik identiti terus memainkan peranan besar dalam landskap politik Malaysia.
Sumber : CNA/FD/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita