Selepas 2 tahun apa perkembangan Shamma Suhail menteri termuda di dunia?
Cik Shamma juga sering mewakili UAE dalam forum-forum antarabangsa dan menceritakan pengalamannya menjadi menteri termuda dan sebagai salah seorang dari sembilan menteri UAE dari golongan wanita.

Cik Shamma Suhail Faris Al Mazrui. (Gambar: Instagram/sultanibookuae)
EMIRIAH ARAB BERSATU: Sekiranya di Malaysia, nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat sebagai 'warna' segar dalam politik negara apabila dilantik sebagai menteri pada usia muda iaitu 26 tahun, rakyat Amiriah Arab Bersatu (UAE) juga berbangga dengan Menteri Hal Ehwal Belia mereka.
Menurut Astro Awani, Cik Shamma Suhail Faris Al Mazrui baru berusia 22 tahun semasa dilantik mengisi portfolio itu pada tahun 2016.
Pelantikannya itu memecah rekod dunia dan diiktiraf Guiness World Record pada tahun 2018 sebagai menteri termuda dalam dunia.
Graduan universiti Oxford itu juga merupakan rakyat UAE pertama yang ditawarkan biasiswa Rhodes dan mempunyai sarjana dalam bidang melakar dasar negara, lapor Astro Awani.
Beliau dilantik Perdana Menteri Mohamed Rashid Al-Maktoum untuk menjadi penghubung antara golongan belia dengan pemerintah dan membawa suara mereka ke peringkat tertinggi.
Menurut Astro Awani, baru-baru ini Cik Shamma, 24 tahun, yang juga mempunyai kelulusan ijazah dalam jurusan Ekonomi dari Universiti New York sudah melancarkan kem khas untuk golongan belia di negaranya bagi memberi latihan dan bimbingan untuk mereka meneroka peluang pada masa hadapan.
Cik Shamma juga sering mewakili UAE dalam forum-forum antarabangsa dan menceritakan pengalamannya menjadi menteri termuda dan sebagai salah seorang dari sembilan menteri UAE dari golongan wanita.
Sebelum terpilih sebagai menteri, Cik Shamma pernah bekerja sebagai penganalisis dan pengkaji di Kedutaan UAE di Amerika Syarikat.
Dalam satu wawancara bersama LA Times, Cik Shamma menyebut empat hal yang diharapkan oleh anak-anak muda UAE. Antaranya adalah pertumbuhan bidang keusahawanan, rasa patriotik dan tanggungjawab terhadap bangsa, cinta kepada budaya dan nilai bangsa, serta peluang dan kemudahan untuk menjalani hidup yang aktif dan lebih berkualiti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.